Selasa, 23 Januari 2018 | 7:30pm
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson (kiri) bersama Setiausaha Luar British, Boris Johnson semasa pertemuan di London, Britain. - Foto EPA-EFE

Pemimpin dunia tekan Syria susulan serangan kimia

PARIS: Diplomat 29 negara termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson, bertemu di ibu kota Perancis hari ini bagi mendesak tekanan dan dakwaan jenayah dikenakan terhadap dalang serangan kimia di Syria.

Tillerson dan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian, juga akan menjadi hos bersama pertemuan menteri menjelang pusingan baru rundingan damai di Vienna lewat minggu ini dan sekali lagi di Sochi, Russia seminggu selepas itu.

Mesyuarat mengenai senjata kimia diadakan selepas dakwaan serangan baru dilancarkan oleh rejim Syria semalam di wilayah Douma di Eastern Ghouta yang dikuasai pembangkang.

Dakwaan serangan itu mengundang amaran keras dari AS kepada Russia untuk mengekang sekutunya, Presiden Bashar al-Assad.

Rejim berulang kali dituduh menggunakan senjata kimia, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara yang menyalahkannya di atas serangan gas sarin pada April 2017 ke atas kampung Khan Sheikhum yang mengorbankan banyak nyawa.

Ada sekurang-kurangnya 130 serangan kimia berasingan di Syria sejak 2012, menurut anggaran dikeluarkan Perancis, dengan militan Daesh juga dituduh menggunakan gas mustard di Syria dan Iraq.

Pada pertemuan hari ini, negara dunia bersetuju berkongsi maklumat dan mengumpulkan senarai individu yang terbabit dalam penggunaan senjata kimia di Syria dan seterusnya. - AFP

271 dibaca
Berita Harian X