Rabu, 24 Januari 2018 | 7:42am
Lebih seribu orang penunjuk perasaan berhimpun di sini membantah rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland. - Foto EPA

1,000 bantah Trump di Switzerland

ZURICH: Lebih seribu orang penunjuk perasaan berhimpun di sini membantah rancangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland.

Trump dijangka berucap ketika perhimpunan perdagangan antarabangsa dan pemimpin dunia di Davos Jumaat ini.

Wartawan AFP melaporkan, kumpulan penunjuk perasaan itu berarak ke arah bandar sambil menjerit 'Trump tidak dialu-alukan'.

Ada antara mereka membawa kain rentang serta sepanduk bertulis 'buang Trump' dan 'Switzerland mengundang Nazi'

"Kami membantah Trump dan WEF. Ia adalah perbincangan antara satu peratus golongan kaya di dunia dan seorang lelaki yang menjadi pencetus suasana agresif terhadap wanita dan golongan minoriti. Dia tidak dialu-alukan di Switzerland," kata Presiden Sosialis Muda Switzerland, Tamara Funiciello.

Perhimpunan itu turut disertai aktivis anti-global dan alam sekitar serta organisasi Kurdis dan Palestin.

Jurucakap Pergerakan Sosialisme, Michel Zahn berkata, Trump adalah penjelmaan seksisme, perkauman, eksploitasi dan rasuah.

Presiden Amerika itu berdepan kritikan berikutan dasar anti-imigresen dan tindakannya mencabul wanita ketika kempen pilihan raya lalu. - AFP

869 dibaca
Berita Harian X