Isnin, 12 March 2018 | 10:19am

Penyerang di kedutaan Iran di Vienna mati ditembak

VIENNA: Seorang warga Austria ditembak mati di hadapan kediaman rasmi duta Iran di sini, selepas dilaporkan menyerang pengawal keselamatan dengan sebilah pisau.

"Penyerang terbabit mati di tempat kejadian, selepas pengawal keselamatan melepaskan tembakan ke arahnya," kata jurucakap polis, Harald Soeras kepada AFP.

Menurut Soeras, insiden berlaku sebelum tengah malam (waktu tempatan), namun motif serangan masih belum diketahui.

Pengawal keselamatan terbabit, yang berada di dalam pondok pengawal di luar bangunan kediaman itu, dilaporkan cedera pada bahagian tangannya dalam serangan itu.

"Beliau pada awalnya menggunakan penyembur lada ke arah penyerang, sebelum melepaskan tembakan," kata Soeras.

"Pengawal keselamatan bertindak mengikut prosedur yang ditetapkan," kata jurucakap Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, penyerang terbabit dipercayai berasal dari wilayah Tyrol, Austria tetapi kini menetap di Vienna.

Berikutan kejadian itu, pihak polis mengetatkan lagi kawalan keselamatan di semua bangunan kedutaan asing di bandar raya itu. - AFP

413 dibaca
Berita Harian X