Isnin, 12 March 2018 | 10:50pm
Presiden Perancis Emmanuel Macron. - Foto AFP

Perancis beri amaran serang Syria

PARIS: Presiden Emmanuel Macron memberi amaran Perancis sedia menyerang mana-mana lokasi di Syria yang digunakan untuk melancarkan serangan kimia yang membawa kematian penduduk awam.

Sejurus sebelum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka berbincang mengenai Syria, Macron berkata, Russia yang juga sekutu kuat Presiden Bashar al-Assad, tidak bertindak secukupnya untuk membenarkan bantuan memasuki wilayah Timur Ghouta yang dikuasai puak penentang.

Ditanya mengenai konflik Syria pada sidang akhbar di India, Macron berkata Perancis sedia menyerang jika ia mendapati ada bukti tidak dapat disangkal senjata kimia digunakan untuk membunuh.

"Pada hari kami mendapati, terutamanya sejajar dengan Amerika Syarikat, wujud bukti kukuh bahawa garis merah sudah dilanggar, iaitu senjata kimia digunakan sehingga membawa kematian, kami akan melakukan apa dilakukan AS beberapa bulan lalu; kami sedia menyerang," kata Macron.

Pemimpin Perancis itu membuat ancaman sebelum itu tetapi setakat ini tidak mempengaruhi keadaan di Syria.

"Kami memadankan maklumat kami dengan apa yang diperoleh sekutu tetapi ingin menjelaskan bahawa kami mempunyai kapasiti bebas untuk mengenal pasti sasaran dan melancarkan serangan ke mana diperlukan," katanya.

Syria menandatangani perjanjian anjuran Russia untuk menghapuskan senjata kimianya untuk mengelakkan serangan udara AS selepas serangan gas saraf mengorbankan ratusan penduduk pada 2013.

Tahun lalu, AS sekali lagi menuduh Damsyik menggunakan gas saraf dan melancarkan serangan udara. - Reuters

1310 dibaca
Berita Harian X