Ahad, 15 April 2018 | 8:43pm
RIBUAN berarak membantah tindakan memenjarakan sembilan orang pemimpin pemisah Catalan. - Foto AFP

Ribuan bantah 9 pemimpin Catalan dipenjara

BARCELONA: Beribu-ribu mula berarak di bandar ini, hari ini membantah tindakan memenjarakan sembilan orang pemimpin pemisah Catalan yang berdepan dakwaan cubaan 'memberontak'.

Kebanyakan penunjuk perasaan melaungkan "Kebebasan untuk banduan politik" sambil berhimpun di Parallel Avenue, memakai selendang kuning, baju sejuk atau jaket, warna yang dipilih untuk menunjukkan sokongan terhadap pemimpin yang dipenjara.

Kumpulan perarakan itu dibentuk pada Mac lalu untuk "mempertahankan institusi Catalan" dan "hak kebebasan asas" rakyatnya.

Bantahan itu disokong oleh dua cawangan terbesar kesatuan perdagangan Sepanyol iaitu CCOO dan UGT, tindakan yang mencetuskan rasa kurang senang ahli kesatuan yang menentang kemerdekaan wilayah timur yang kaya itu.

"Berlaku ketegangan (antara ahli kesatuan), keadaan yang sama berlaku di kebanyakan tempat di dalam masyarakat Catalan," kata Setiausaha Agung UGT Cawangan Catalan, Camil Ros kepada AFP.

Katanya, ia bukan bantahan terhadap pemisahan. Ia adalah masa untuk membina jambatan dan masalah Catalan tidak dapat diselesaikan di mahkamah tetapi menerusi dialog dan politik. - AFP

283 dibaca
Berita Harian X