Isnin, 16 April 2018 | 7:06am
PRESIDEN Emmanuel Macron. - Foto EPA-EFE

Perancis yakinkan AS terus berkuasa di Syria

PARIS: Presiden Emmanuel Macron menegaskan semalam, beliau meyakinkan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk terus kekal di Syria 'dalam jangka panjang', menambah serangan udara negaranya bukan pengisytiharan perang ke atas rejim Bashar al-Assad.

Sehari selepas Perancis menyertai AS dan Britain melancarkan serangan tidak dijangka ke atas sasaran rejim, Macron menegaskan, campur tangan itu sah dan menggesa kuasa antarabangsa mencari penyelesaian diplomatik terhadap perang ganas tujuh tahun di Syria.

"Kami tidak mengisytiharkan perang terhadap rejim Bashar al-Assad. Kami memiliki hak sah di peringkat antarabangsa untuk campur tangan dalam kes ini," kata Macron yang mempertahankan campur tangan pertama tentera secara besar-besaran negaranya, perlu bagi memberi isyarat penggunaan senjata kimia ke atas orang awam patut dihukum.

Serangan Sabtu lalu menyasar tiga kemudahan senjata kimia didakwa sebagai tindak balas terhadap apa yang dikatakan Barat serangan gas di Douma yang mengorbankan puluhan orang awam.

Macron berkata, AS, Perancis dan Britain menyasar 'tapak tepat penghasilan senjata kimia' dalam operasi dianggap sempurna.

Beliau juga menegaskan, mengikut satu resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2013, Syria sepatutnya memusnahkan senjata kimia miliknya.

Merujuk sekutunya, Macron mendakwa Perancis memainkan peranan penting mengubah fikiran Trump untuk kekal terbabit dalam konflik itu. -AFP

494 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »