Isnin, 16 April 2018 | 8:32am
PUTERA Harry. - Foto Reuters

Harry galas tugas duta belia Komanwel

LONDON: Ratu Elizabeth melantik cucunya, Putera Harry, sebagai duta belia bagi Komanwel, yang mana beliau akan menggalakkan golongan muda menggunakan rangkaian Komanwel untuk menangani cabaran.

Pengumuman tugas baharu Harry itu sempena permulaan sidang kemuncak Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di London minggu ini, yang mana Britain berusaha meningkatkan rangkaian ketika berunding untuk keluar dari Kesatuan Eropah.

Dalam satu kenyataan, Istana Buckingham menyatakan lebih 60 peratus daripada 2.4 bilion penduduk negara Komanwel berusia bawah 30 tahun.

"Putera Harry akan berusaha mewujudkan hubungan antara golongan muda dan pemimpin belia Komanwel dan menggalakkan mereka menggunakan rangkaian Komanwel untuk menangani cabaran generasi mereka dalam bidang sosial, ekonomi dan alam sekitar," menurut kenyataan itu.

Harry, 33, meningkatkan tugas rasminya dan berada di barisan depan bagi menjenamakan semula monarki sebagai moden dan relevan.

Beliau akan mengahwini aktres Amerika Syarikat, Meghan Markle, pada 19 Mei ini.

Ratu Elizabeth adalah ketua Komanwel tetapi persoalan akan dibangkitkan berhubung sama ada anaknya, Putera Charles, akan menggantikan beliau. - Reuters

243 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »