Jumaat, 12 Oktober 2018 | 1:46am
MENDIANG Amy Winehouse.

Amy Winehouse 'kembali' dalam imej hologram

LONDON: Kelibat mendiang penyanyi terkenal British, Amy Winehouse bakal ‘muncul kembali’ di sebuah konsert dalam bentuk hologram, menemui peminatnya, kata bapa penghibur itu kepada Reuters.

Persembahan yang dijangka berlangsung pada 2019 itu akan dikendalikan syarikat sama yang menerbitkan konsert jelajah hologram penyanyi era 1960-an Roy Orbison dan penyanyi opera Maria Callas.

Imej hologram Winehouse bakal dipancarkan di pentas bersama sekumpulan pemuzik yang mengiringi rakaman suara asalnya secara langsung.

Mitch Winehouse berkata, kutipan daripada persembahan itu akan disalurkan kepada tabung Yayasan Amy Winehouse yang ditubuhkan selepas kematiannya.

Ia bertujuan membantu golongan muda yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.

“Peminat masih menanti sesuatu yang baru dari Amy, tetapi hakikatnya tiada apa yang baru dari segi muzik,” kata Mitch dalam temu bual itu.

“Kami rasa hologram akan menjadi cara yang luar biasa bagi Amy dan peminatnya bertemu dan juga cara yang luar biasa untuk mengumpul dana bagi yayasan kami.”

Amy yang dilihat sebagai seorang penyanyi paling berbakat dikalangan generasinya, meninggal dunia akibat keracunan alkohol pada Julai 2011 di rumahnya di London, pada usia 27 tahun.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu hit seperti ‘Rehab’ dan

‘Back to Black’ itu bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan dadah sepanjang kerjayanya. - Reuters

232 dibaca
Berita Harian X