Khamis, 3 Ogos 2017 | 9:46am

Pencuri larikan bahan radioaktif bahaya di Mexico

MONTERREY: Pihak berkuasa Mexico mengeluarkan amaran semalam selepas pencuri melarikan sebahagian peralatan penyelidikan akademik mengandungi bahan radioaktif berbahaya, kejadian ketujuh seumpama itu di negara itu sejak 2013.

Pencuri melarikan densometer nuklear dari belakang sebuah trak di tempat letak kereta pusat beli belah di bandar raya Monterrey ketika pemandu berehat untuk makan di restoran makanan segera, kata Kementerian Dalam Negeri Mexico.

Peralatan itu, digunakan untuk mengukur kepadatan tanah, adalah milik jabatan kejuruteraan awam universiti Nuevo Leon.

Ia mengandungi bahan radioaktif yang amat bahaya jika tidak dikendalikan dengan baik.

Sekurang-kurangnya tujuh peralatan awam mengandungi bahan radioaktif dicuri sejak 2013 di Mexico, negara yang dicemari kadar jenayah tinggi dan kumpulan penjenayah berpengaruh.

Setakat ini, semua peralatan itu berjaya ditemui semula. - AFP

353 dibaca
Berita Harian X