Jumaat, 4 Ogos 2017 | 7:26pm
DUA penerbangan antarabangsa Qantas mengalami masalah mekanikal di udara. - Foto REUTERS

Dua pesawat Qantas terpaksa berpatah balik

SYDNEY: Dua penerbangan antarabangsa Qantas mengalami masalah mekanikal di udara hari ini dan terpaksa berpatah balik ke Sydney, kata syarikat penerbangan Australia itu.

Sebuah pesawat tidak boleh menarik balik flap sayap manakala sebuah pesawat lagi retak di bahagian cermin.

Penerbangan QF7 sedang menghala ke Dallas, namun kapten pesawat Airbus A380 itu mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Sydney selepas mendapati flap sayapnya tidak boleh ditarik balik.

"Ia membuatkan pesawat ini tidak boleh terbang dengan baik. Dallas adalah jarak paling jauh dalam rangkaian perkhidmatan kami, dan kapten mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Sydney," kata Qantas dalam satu kenyataan.

Penerbangan kedua QF63 yang menghala ke Johannesburg pula terpaksa berpatah balik selepas keretakan dikesan pada cermin hadapan pesawat.

"Cermin pesawat diperbuat daripada tiga lapisan kaca, bahagian luar cermin retak namun ia tidak menjejaskan keadaan pesawat," kata kenyataan itu.

"Pesawat itu selamat untuk meneruskan penerbangan ke Johannesburg, namun kapten membuat keputusan untuk kembali kerana cermin ini akan diganti di pangkalan kejuruteraan Qantas di Sydney." - AFP

1657 dibaca
Berita Harian X