Isnin, 7 Ogos 2017 | 10:50am
Pantai Pamilla, Los Cabos, Mexico.

3 ditembak mati di pantai Mexico

LOS CABOS, Mexico: Tiga lelaki ditembak mati dan dua lagi cedera di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong asing di sini, hari ini.

Pendakwa raya di negeri Baja California Sur, berkata, kejadian itu mencetuskan panik kalangan pelancong yang sedang berjemur di pantai Pamilla dan penduduk tempatan di San Jose del Cabo.

"Tiga lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan senjata. Tiga lagi yang cedera dihantar ke hospital," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beberapa saksi, pelancong di kawasan berkenaan lari bertempiaran ketika terdengar bunyi tembakan.

"Kami dengar bunyi tembakan dan berlari mencari perlindungan. Ia adalah tembakan senjata automatik," kata seorang pelancong dari Mexico City yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Jorge.

Pihak berkuasa mengarahkan kawasan pantai itu dikosongkan dan memulakan siasatan. Ketika ini pertandingan tenis terbuka Cabos sedang berlangsung di sini.

Sejak beberapa bulan lalu, kes jenayah di Los Cabos makin meningkat dengan lebih 230 penduduk dibunuh tahun ini.

Lebih 186,000 orang dibunuh dan 30,000 lagi hilang di Mexico sejak 2006 ketika kerajaan mengerahkan tentera membanteras jenayah terancang di negara ini.

Menurut pakar jenayah, penangkapan ketua kartel dadah menyebabkan wujud banyak kumpulan jenayah yang melakukan rompakan, penculikan dan peras ugut di kawasan dikawal mereka. AFP

779 dibaca
Berita Harian X