Ahad, 13 Ogos 2017 | 7:19am
PRESIDEN Mexico, Enrique Pena Nieto. - Foto REUTERS

Peraturan parti dipinda untuk benar lantik calon luar

MEXICO CITY : Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto meluluskan pindaan pada peraturan Parti Institusi Revolusi (PRI) untuk membenarkan orang luar bertanding bagi merebut jawatan presiden, satu langkah yang memberi kelebihan kepada mana-mana ketua dalam menentukan pengganti mereka.

Semua ahli PRI ketika berhimpun semalam di perjumpaan peringkat nasional sebelum pilihan raya tahun depan, sepakat mengundi untuk peraturan baru itu, sekali gus mengenepikan undang-undang sedia ada yang mewajibkan calon presiden perlu menganggotai parti sekurang-kurangnya 10 tahun.

Pindaan peraturan berkenaan membuka peluang untuk Menteri Kewangan, Jose Antonio Meade yang sebelum ini pernah berkhidmat dalam beberapa portfolio di bawah PRI dan Parti Tindakan Nasional (PAN).

Pada perhimpunan itu, Pena Nieto dilihat menghabiskan kira-kira 15 minit untuk memberikan ucapan dan bergambar bersama penyokongnya sambil dikerumuni lebih 15,000 ahli PRI di Palacio de los Deportes.

Beliau yang mengenakan jaket sukan berwarna merah berkata, perubahan dilakukan itu sebagai sebahagian daripada usaha membentuk parti yang lebih moden serta menyeluruh.

Katanya, langkah itu membuka peluang untuk PRI lebih rapat dan akrab dengan komuniti setempat, sekali gus membantu mengukuhkan kedudukan parti sebagai wadah terbaik untuk berkhidmat bersama rakyat.

Pindaan peraturan terbabit dilihat kritikal dalam membantu PRI memilih calon terbaik menjelang pilihan raya umum, selepas imej Pena Nieto diburukkan oleh keganasan kumpulan penjenayah dan pertumbuhan tidak memberangsangkan, selain siri skandal rasuah di dalam parti. - Reuters

257 dibaca
Berita Harian X