Rabu, 30 Ogos 2017 | 9:55pm
ZEID Ra'ad Al Hussein.- Foto Reuters

Trump hasut 'keganasan' ke atas media: PBB

GENEVA: Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Zeid Ra'ad Al Hussein mendakwa, serangan tanpa henti Presiden Donald Trump ke atas media boleh mencetuskan keganasan terhadap wartawan.

Dalam kecaman meluas terhadap tindak tanduk Trump di Rumah Putih, Zeid berkata, beliau menuduh Presiden Amerika Syarikat itu 'memandu dalam keadaan berbahaya'.

Beliau juga menyelar keputusan Trump memberi pengampunan kepada bekas Ketua Polis Arizona, Joe Arpaio yang disabitkan atas cubaan jenayah bulan lalu kerana secara haram membantu pendatang Hispanik.

Berkaitan media, beliau menyuarakan kebimbangan berhubung serangan lisan Trump ke atas CNN, akhbar New York Times dan Washington Post.

"Menggelar organisasi berita ini 'palsu', memberi kerosakan besar. Merujuk wartawan dengan cara ini, saya perlu bertanyakan soalan, adakah ini bukan satu hasutan untuk yang lain menyerang wartawan?

"Dengan beranggapan seorang wartawan dicederakan, tidakkah presiden bertanggungjawab atas tindakannya kerana menghasut?

"Saya percaya, ia menyamai hasutan," katanya di Geneva.

Menurutnya, serangan Trump ke atas media menggalakkan negara lain mengenakan sekatan terhadap kebebasan media.

"Menghasut kejahatan ke atas media dianggap racun kerana akibatnya juga ada di tempat lain," katanya.

Beliau menyuarakan kebimbangan khusus berkaitan ucapan Trump di Arizona awal bulan ini di mana wartawan dikecam pemimpin AS itu dan disifatkan sebagai 'orang tidak jujur' yang 'membenci AS'. - AFP

646 dibaca
Berita Harian X