Selasa, 5 September 2017 | 12:14am
DUTA Amerika ke PBB, Nikki Haley. - Foto AFP

Sekatan minyak hukum Pyongyang - Diplomat

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) hari ini menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan 'langkah paling tegasnya' ke atas Korea Utara susulan ujian nuklear keenam dan paling berkuasa.

Duta AS ke PBB Nikki Haley memaklumkan mesyuarat tergempar majlis itu, hanya sekatan paling tegas mampu menyelesaikan masalah.

"Hanya sekatan paling tegas membolehkan kita menyelesaikan masalah ini menerusi diplomasi.

"Apabila rejim jahat memiliki senjata nuklear dan ICBM (peluru berpandu balistik antara benua) menuding ke arah anda, anda tidak mengambil langkah mengurangkan kawalan. Kita sama sekali tidak akan melakukannya," kata Haley.

Beliau pada masa sama menganggap cadangan China supaya menggantung latihan ketenteraan tahunan AS-Korea Selatan sebagai satu 'penghinaan' dalam pertukaran pembekuan program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

AS, Britain, Perancis, Jepun dan Korea Selatan memohon mesyuarat tergempar selepas Korea Utara meletupkan bom hidrogen direka untuk peluru berpandu jarak jauh.

Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberi amaran, Pyongyang mungkin bersiap sedia melancarkan ujian lain selepas dua ujian ICBM Julai lalu membawa tanah besar AS dalam jarak sasaran.

Haley mengisytiharkan, 'masa untuk tindakan separa sudah berakhir,' mencadangkan majlis perlu secara ketara meningkatkan tekanan dengan sekatan tegar akan diputuskan dalam resolusi baharu.

Duta AS itu tidak mendedahkan langkah disokong Washington, namun diplomat memberi bayangan sekatan minyak mungkin memberi kesan melumpuhkan ke atas ekonomi Korea Utara. -AFP

874 dibaca
Berita Harian X