Selasa, 24 Oktober 2017 | 7:44am

PBB undi lanjut siasatan serangan di Syria

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi hari ini untuk menentukan jika siasatan antarabangsa berkaitan serangan senjata kimia di Syria perlu dilanjutkan, kata diplomat.

Amerika Syarikat (AS) memohon undian diadakan berkaitan satu deraf resolusi dibentangkan minggu lalu, membolehkan panel gabungan Larangan Senjata Kimia (OPCW) PBB, menambah tempoh setahun lagi.

Ini untuk mengenal pasti dalang serangan gas toksik dalam perang enam tahun Syria.

Langkah itu kemungkinan berdepan bantahan daripada Russia, sekutu Syria, yang mahu melihat laporan berkaitan serangan gas sarin di Khan Sheikhun Khamis ini sebelum membuat keputusan.

Duta AS, Nikki Haley menggesa majlis PBB bertindak segera sekali gus menyokong tugas berterusan panel dikenali Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) yang mandatnya berakhir 18 November ini.

Britain, Perancis dan AS menuduh tentera Presiden Bashar al-Assad menggunakan gas sarin menyerang kampung diduduki pemberontak, 4 April lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang, termasuk lebih 30 kanak-kanak.

Bulan lalu, penyiasat jenayah perang PBB berkata, mereka mempunyai bukti tentera udara Syria menjadi dalang serangan Khan Sheikhun walaupun berulang kali dinafikan Damsyik.

"Ini bukan soal politik atau kandungan laporan akan datang, namun untuk memastikan tanggungjawab terhadap mereka yang menggunakan senjata berbahaya sama ada anggota PBB atau sebaliknya," tulis Haley dalam surat kepada duta lain minggu lalu. -AFP

254 dibaca
Berita Harian X