Jumaat, 27 Oktober 2017 | 11:09am
Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce.

TPM Australia mungkin hilang kelayakan

SYDNEY: Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce berdepan kemungkinan hilang status sebagai Ahli Parlimen jika Mahkamah Tinggi Australia mendapati beliau tidak layak menduduki kerusi berkenaan.

Keputusan mengenai perkara itu akan diputuskan Mahkamah Tinggi Australia hari ini.

Ia susulan status kerakyatan dua negara beliau yang boleh membuatkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dilucutkan.

Selain Joyce, enam ahli politik lain turut berdepan senario sama selepas penemuan mengenai kerakyatan mereka beberapa bulan lalu.

Menurut Perlembagaan Australia, individu yang memegang dua kerakyatan dilarang bertanding dalam pilihan raya dan menyandang sebarang portfolio.

Kes membabitkan Joyce dianggap paling kritikal kerana beliau berada di dalam Dewan Rakyat menerusi gabungan parti Liberal-Nasional diketuai Perdana Menteri, Malcom Turnbull yang menguasai Parlimen dengan kelebihan satu kerusi.

Jika Joyce didapati tidak layak oleh mahkamah, gabungan parti Turnbull akan kehilangan satu kerusi, memaksa beliau mendapatkan sokongan satu daripada tiga ahli perundangan untuk kekal sebagai kerajaan minoriti dalam sidang Parlimen yang masih berbaki dua minggu lagi. - REUTERS

604 dibaca
Berita Harian X