Sabtu, 28 Oktober 2017 | 8:45am
LEBIH satu pertiga negara dalam dunia tidak mempunyai undang-undang melarang gangguan seksual di tempat kerja.

Tiada undang-undang gangguan seksual

NEW YORK: Lebih satu pertiga negara dalam dunia tidak mempunyai undang-undang melarang gangguan seksual di tempat kerja, menyebabkan lebih 200 juta pekerja wanita tanpa perlindungan undang-undang, menurut kajian baru.

Pada peringkat global, hampir 82 wanita bekerja di negara tanpa undang-undang melarang diskriminasi jantina dalam bentuk bayaran dan kenaikan pangkat, menurut kajian oleh Pusat Analisis Dasar WORLD di University of California, Los Angeles.

Persekitaran kerja bagi wanita menjadi tumpuan dengan dakwaan gangguan dan serangan seksual difailkan aktres ternama terhadap penerbit filem, Harvey Weinstein.

Beliau menafikan mengadakan hubungan seks tanpa rela dengan sesiapa.

Sementara wanita lain muncul menuduh lebih ramai tokoh dalam bidang hiburan dan media, dan jutaan wanita membanjiri media sosial menceritakan semula pengalaman mereka diganggu atau diserang secara seksual oleh ketua, rakan sekerja dan orang lain dalam kempen #MeToo.

Di seluruh dunia, 68 negara tidak melarang gangguan seksual di tempat kerja, menurut kajian yang melihat undang-undang di semua 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hampir 235 juta wanita bekerja di 68 negara berkenaan.

Tidak mempunyai perlindungan undang-undang di tempat kerja menjejaskan wanita tidak bekerja, selain mereka yang terpaksa meletak jawatan disebabkan gangguan itu, kata pengarah agensi itu, Jody Heymann.

"Di 68 negara itu, ada 424 wanita pada usia bekerja, ini bilangan yang ramai dan satu pertiga negara dunia tiada perlindungan daripada gangguan seksual," katanya. - Reuters

536 dibaca
Berita Harian X