Sabtu, 28 Oktober 2017 | 11:45pm

Perlindungan tambahan untuk singa, cimpanzi, zirafah, jerung

MANILA: Singa, zirafah, cimpanzi, harimau bintang dan pelbagai spesies jerung menerima perlindungan tambahan dalam satu persidangan hidupan liar Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Sesetengah daripada 34 spesies terancam itu dipilih untuk menerima usaha perlindungan dipertingkatkan ketika penutup persidangan Pemuliharaan Haiwan Berhijrah (CMS) hari ini.

Setiausaha Eksekutif CMS, Bradnee Chambers, berkata usaha melindungi haiwan berhijrah terutama berdepan pelbagai kesukaran kerana ia bergerak menyeberangi sempadan, termasuk kemungkinan haiwan itu berpindah ke negara dengan undang-undang perlindungan hidupan liar yang lemah.

"Jika spesies haiwan berkenaan berhijrah ke negara seumpama itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing," katanya.

Singa, harimau bintang dan cimpanzi bagaimanapun memerlukan lebih perlindungan kerana populasi kesemua haiwan itu semakin berkurangan kebelakangan ini.

Penganjur berkata, cimpanzi terutamanya berisiko kerana jumlahnya menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kemusnahan habitat.

Turut termasuk dalam kumpulan sama ialah zirafah, haiwan yang kini mencatat bilangan kurang daripada 90,000 ekor di seluruh Afrika. -AFP

200 dibaca
Berita Harian X