Khamis, 9 November 2017 | 7:00am
JUAN Manuel Santos (tengah) hadir selepas anggota polis merampas 12 tan dadah dari jenis kokain di Apartado, Antioquia, Colombia. - Foto AFP

Rampasan dadah terbesar dalam sejarah Colombia

BOGOTA: Polis Colombia merampas 12 tan dadah dari jenis kokain dalam operasi yang disifatkan Presiden Juan Manuel Santos sebagai rampasan tunggal terbesar dalam sejarah dadah negara itu.

Kesemua dadah itu ditemui di dalam sebuah gudang bawah tanah oleh sepasukan 400 polis anti narkotik yang menyerbu empat ladang pisang di barat laut Antioguia.

Santos ketika bercakap kepada wartawan berkata, rampasan sebesar itu tidak pernah berlaku sepanjang tempoh 40 tahun negara berkenaan memerangi kegiatan penyeludupan dadah.

Kejayaan itu katanya, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sepanjang tahun ini meningkat kepada 362 tan, mengatasi 317 tan yang dibuat tahun lalu.

Polis menganggarkan keseluruhan dadah itu bernilai AS$60 juta (RM253 juta).

"Semua dadah itu disimpan di bawah tanah di beberapa ladang dalam kawasan perbandaran Chigorodo dan Carepa," katanya.

Ia dipercayai milik lelaki paling dikehendaki pihak berkuasa Colombia, Dario Antonio Usuga atau turut dikenali sebagai 'Otoniel" yang juga ketua sindiket pengedaran dadah terbesar negara itu, Gulf Clan. - AFP

2198 dibaca
Berita Harian X