Jumaat, 10 November 2017 | 11:32am
Setiausaha Dalam Negara Britain, Amber Rudd muncul di rancangan TV BBC's Andrew Marr Show di London, Britain pada 5 November lalu. - Foto REUTERS

Britain desak media sosial sekat mesej militan

WASHINGTON: Pegawai keselamatan dalaman Britain mendesak syarikat pengendali media sosial supaya mencipta satu sistem yang mampu mengesan dan menghalang secara automatik mesej mengenai militan sebelum ia dimuat naik ke rangkaian mereka.

Setiausaha Dalam Negara, Amber Rudd ketika bercakap kepada kumpulan pemikir New America di Washington semalam, berkata ketika ini, wujud 'persaingan dalam talian' antara kumpulan militan dan pihak berkuasa.

Beliau berkata, kerajaan dan syarikat terbabit perlu bekerjasama bagi memastikan mesej yang mempromosi keganasan oleh kumpulan militan dipadam daripada internet dalam tempoh antara satu atau dua jam selepas ia dimuat naik.

Namun Rudd berkata, syarikat berkenaan perlu menyegerakan langkah membangunkan sistem kecerdasan buatan yang berupaya mengesan kandungan terbabit sebelum ia dimuat naik di internet dan menghalangnya daripada disebarkan.

"Sejak awal 2017, operasi militan sudah mewujudkan 40,000 destinasi baharu di internet," katanya yang memaklumkan sudah mengunjungi beberapa syarikat di Lembah Silikon, termasuk Alphabet Inc, Google, YouTube, Facebook Inc dan Twitter Inc, awal tahun ini.

Katanya, pada kunjungan berkenaan, beliau sudah membuat permintaan kepada semua syarikat terbabit supaya membuang atau menghalang semua kandungan yang mempromosi unsur keganasan. - Reuters

197 dibaca
Berita Harian X