Selasa, 14 November 2017 | 7:11am
DUTA Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah Al-Mouallim. - Foto REUTERS

Tahanan anti rasuah akan diadili

NEW YORK (PBB): Kerabat diraja, pegawai kerajaan dan ahli perniagaan Arab Saudi yang ditahan dalam operasi antirasuah baru-baru ini akan menjalani proses sewajarnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Duta Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah Al-Mouallim.

"Saya memberi jaminan semua yang ditahan akan menjalani proses keadilan yang sewajarnya," kata Abdallah kepada media di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jumlah mereka yang ditahan, sambil berkata: "Saya tidak mempunyai data yang boleh dikongsi dengan anda. Ia adalah sesuatu yang akan diumumkan pihak berkuasa (Arab Saudi) tidak lama lagi".

Baru-baru ini, pihak berkuasa Arab Saudi menahan puluhan tokoh utama di negara itu, termasuk bilionair, Putera Alwaleed bin Talal, yang dianggap sesetengah pihak sebagai cubaan untuk mengukuhkan kuasa oleh Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman.

Semua yang ditahan dituduh terbabit dalam pengubahan wang haram, pemerasan, rasuah dan penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi.

Jawatankuasa antirasuah Arab Saudi diberi kuasa untuk menyita dana dan lain-lain aset milik semua syarikat terbabit sepanjang siasatan dijalankan. - Reuters

301 dibaca
Berita Harian X