Jumaat, 1 Disember 2017 | 10:54am
JAMES Packer disoal siasat polis Australia berhubung siasatan rasuah membabitkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang disyaki menerima pemberian mewah dari penyokong yang kaya.- Foto AFP

Hartawan Australia, Packer disiasat kes rasuah Netanyahu

SYDNEY: Hartawan James Packer disoal siasat polis Australia berhubung siasatan rasuah membabitkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang disyaki menerima pemberian mewah dari penyokong yang kaya.

Pemilik empayar perjudian Crown dan dilaporkan cukup akrab dengan Netanyahu itu, secara sukarela hadir untuk ditemubual Polis Persekutuan Australia (AFP), kata seorang jurucakap polis hari ini, tanpa menjelaskan di mana ia berlangsung.

"Packer mengambil bahagian dalam temu bual secara sukarela sebagai saksi untuk siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Israel," kata jurucakap itu.

Packer, yang baru saja berpisah dengan penyanyi Amerika, Mariah Carey, tidak disyaki melakukan jenayah, sama ada di Israel atau Australia, katanya.

Netanyahu setakat ini sudah enam kali disoal siasat membabitkan dua dakwaan kes rasuah.

Pemimpin Israel itu dituduh menerima hadiah daripada seorang ahli perniagaan Israel dan penerbit Hollywood, Arnon Milchan rakan perniagaan Packer.

Netanyahu sebelum ini berdepan siasatan polis membabitkan dakwaan cuba memeterai perjanjian rahsia bagi mendapatkan liputan eksklusif dari akhbar harian terkemuka paling laris di Israel, Yediot Aharonot.

Netanyahu secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan mendakwa beliau menjadi sasaran kempen politik pesaingnya. - AFP

498 dibaca
Berita Harian X