Jumaat, 22 Disember 2017 | 6:45am
SETIAUSAHA Agung PBB, António Guterres. - Foto AFP

PBB tutup operasi Tribunal Perang Yugoslavia

THE HAGUE: Mahkamah jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan khas bagi mengadili kes jenayah ketika perpecahan Yugoslavia, pada 1990-an akhirnya menutup pintu, semalam.

Mahkamah berkenaan turut terbabit membicarakan bekas Presiden Serbia, Slobodan Milosevic.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres, berkata sudah menjadi kebiasaan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menghukum pelaku jenayah terburuk dan bertanggungjawab atas setiap tindakan diambil.

Apabila Tribunal Perang Antarabangsa bagi Yugoslavia (ICTY) dibentuk pada 1993 untuk mengadili bekas presiden itu, Perang Balkan masih meletus dan ramai beranggapan perbicaraan itu tidak akan berjaya.

Proses terbabit bagaimanapun berterusan seperti diharapkan dan berjaya membicarakan 161 suspek yang masih hidup, pada waktu itu.

Ia cubaan pertama dibuat bagi menghukum pesalah perang selepas perbicaraan Nuremberg, pasca Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, peranan ICTY malap seketika selepas Perang Balkan.

Namun, ia kembali menjadi sebutan bulan lalu selepas mensabitkan Jeneral Serbia Bosnia, Ratko Miladic atas kesalahan penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, Bosnia pada 1995.

Beberapa hari selepas itu, jeneral Croatia Bosnia, Slobodan Praljak membunuh diri di dalam mahkamah dengan meminum racun sianida sejurus selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun. - Reuters

433 dibaca
Berita Harian X