Ahad, 14 Januari 2018 | 11:10am
ANGGOTA kongres, Julio Juarez Ramirez. - Foto REUTERS

Anggota Kongres ditahan bunuh 2 wartawan

GUATEMALA CITY: Seorang anggota Kongres Guatemala ditahan kerana terbabit merancang pembunuhan dua wartawan pada 2015.

Pejabat peguam negara turut mengesahkan penahanan Julio Juarez Ramirez semalam, yang dituduh berkomplot merancang pembunuhan itu.

Ramirez, anggota Parti FCN-Nacion, ditahan di rumahnya di daerah selatan Suchitepequez, sebelum dipindahkan ke ibu kota ini. Dia bagaimanapun menafikan tuduhan ke atasnya.

Pendakwa raya dan penyiasat Suruhanjaya Antarabangsa Menentang Pelanggaran Undang-undang di Guatemala berkata, ahli politik terbabit mengarahkan serangan ke atas wartawan Danilo Efraín Zapón López dan Federico Benjamín Salazar Gerónimo, yang dibunuh pada Mac 2015.

Ramirez berkhidmat sebagai datuk bandar di bandar selatan San Antonio La Union dari 2012 hingga 2015 sebelum menang kerusi Kongres tahun berikutnya.

Menurut penyiasat, Zapon, seorang wartawan akhbar Prensa Libre dibunuh kerana menulis kisah rasuah dalam pentadbiran Ramirez.

Disember lalu, Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas Ramirez mengikut Akta Kebertanggungjawaban Hak Asasi Manusia Global Magnitsky berikutan peranannya dalam pembunuhan itu. -AFP/Reuters

867 dibaca
Berita Harian X