Jumaat, 2 March 2018 | 7:21pm
BENJAMIN Netanyahu. - Foto Reuters

Polis Israel siasat Netanyahu kali ke-8

BAITULMAQDIS: Polis Israel, hari ini tiba di kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menyoal siasat beliau buat kali kelapan berhubung dakwaan penipuan dan rasuah, lapor media.

Wartawan AFP melihat polis tiba di kediaman rasmi Netanyahu di Baitulmaqdis dengan dua kenderaan kira-kira jam 9.00 pagi waktu tempatan.

Polis tidak mengeluarkan sebarang pengesahan bahawa soal siasat sedang dijalankan.

Pada masa sama juga penyiasat mengambil kenyataan daripada isteri Netanyahu, Sara, di ibu pejabat skuad penipuan berhampiran Tel Aviv.

Bekas pembantu Netanyahu dan ahli perniagaan terkemuka, kini dalam tahanan kerana dikaitkan dengan dakwaan penipuan.

Bekas penasihat media kepada keluarga Netanyahu, Nir Hefetz, dan pemegang saham kumpulan telekom Bezeq, Shaul Elovitch, antara tujuh suspek yang ditangkap minggu lalu ketika kecurigaan terhadap Netanyahu semakin meningkat.

Polis mengesyaki Elovitch diberikan konsesi perniagaan sebagai balasan bagi Netanyahu mendapatkan liputan baik di laman berita dimilikinya, Walla!. - AFP

402 dibaca
Berita Harian X