Ahad, 4 March 2018 | 7:54pm
BENJAMIN Netanyahu.- Foto Reuters

Netanyahu tolak adakan pilihan raya awal

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menentang pilihan raya awal, ketika siasatan rasuah yang dikaitkan dengan beliau menyemarakkan spekulasi berhubung masa depannya.

Media Israel meningkatkan kemungkinan pilihan raya diadakan Jun ini, dengan siasatan rasuah berpotensi melemahkan kemampuan Netanyahu menyatukan parti campuran berhaluan kanan pimpinannya.

"Tiada alasan untuk ia berlaku jika ada kebaikan.

"Bagi saya, ada kebaikan. Saya harap rakan gabungan lain juga memilikinya," kata Netanyahu sebelum berlepas ke Amerika Syarikat untuk melakukan lawatan semalam.

Beliau akan bertemu Presiden Donald Trump esok di Rumah Putih dan dijangka memberi ucapan kepada kumpulan pelobi pro-Israel, AIPAC, pada Selasa.

Polis Israel mencadangkan Netanyahu didakwa dalam dua kes rasuah bulan lalu dan siasatan diteruskan dalam beberapa kes lagi.

Netanyahu dan isterinya, Sara, disoal siasat polis kelmarin dalam kes ketiga dakwaan rasuah.

Pada masa sama, ada petunjuk perpecahan berlaku dalam rakan parti gabungan yang mengancam kerajaan. - AFP

221 dibaca
Berita Harian X