Isnin, 9 April 2018 | 7:32am

4 maut serangan pengebom nekad

RAMADI: Empat maut, manakala tujuh lagi cedera, termasuk seorang calon pilihan raya dalam serangan pengebom nekad yang menyasarkan ibu pejabat sebuah parti politik di barat Iraq, menjelang pemilihan yang dijadual berlangsung bulan depan.

Kumpulan militan Daesh dalam satu kenyataan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang berlaku Sabtu lalu di wilayah Al-Anbar.

Seorang pegawai keselamatan tempatan memberitahu AFP, kejadian berlaku selepas dua pengebom nekad yang menyamar sebagai tentera memasuki ibu pejabat Parti Al-Hal, iaitu satu parti utama di rantau berkenaan.

"Salah seorang penyerang meletupkan bom yang dipasang pada bahagian pinggangnya ketika pemimpin politik sedang bermesyuarat di ibu pejabat kempen di bandar Hit, kira-kira 200 kilometer di barat Baghdad.

"Letupan itu menyebabkan tiga anggota pasukan keselamatan terbunuh, sementara tujuh lagi cedera, termasuk calon pilihan raya Zineb Abdel Hamid al-Hiti," kata ketua operasi tentera di kawasan itu, Jeneral Qassam al-Mohammadi kepada AFP.

Seorang lagi penyerang turut meletupkan bom pada pinggangnya, sejurus selepas pengebom nekad pertama berbuat demikian tetapi tiada laporan mengenai mangsa yang cedera. - AFP

370 dibaca
Berita Harian X