Ahad, 16 Julai 2017 | 6:05pm

Nazrief cuba cabar Fattah?


NAZRIEF Nazri (kiri) dan Fattah Amin. - Foto NSTP

APABILA seorang rakan mengesyorkan supaya mendengar lagu Cinta Semalam nyanyian Nazrief Nazri, tidak sangka pula pelakon utama drama Nasi Minyak Kuah Cinta itu mempunyai tona suara yang tidak mengecewakan.

Walaupun muzik video lagu Cinta Semalam ciptaan dan lirik oleh Room None itu baru saja dimuat naik di laman YouTube akhir bulan lalu, tetapi sudah lebih 100,000 pelayar Internet mendengarnya. Ramai peminat memuji suara pelakon yang mula dikenali menerusi drama Lara Terindah itu. Tidak sangka pula Nazrief mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, apa yang tidak sedap didengar, ada pula peminat yang mula membandingkan suara Nazrief dengan Fattah Amin. Alahai, janganlah macam tu...

Fattah juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Jika tidak, masakan siang malam semua stesen radio asyik memutarkan lagu Wanita Terakhir. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu untuk berhari raya, baru-baru ini, berulang kali lagu Wanita Terakhir diputar.

Raja sudah boleh hafal lirik lagu itu. Maknanya, lagu ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan itu memang menjadi pilihan pendengar.

Usah hanya mengkritik

Dalam hal ini, bagi Raja, terserah kepada cita rasa masing-masing. Jangan pula sibuk mengkritik, berbalah dan membandingkan siapa lebih hebat. Peminat tetap akan menyokong artis kesayangan mereka. Raja lihat apa saja yang dilakukan Fattah seperti berlakon, menyanyi dan tulis buku, semuanya dikutuk. Stigma berlakon macam kayu seperti tidak boleh dipisahkan dengan Fattah sampai bila-bila. Tetapi dalam ramai yang mengutuk, Fattah tetap laris macam pisang goreng panas. Drama hebat semuanya Fattah sapu bersih. Fattah makin popular dan hidup senang, orang yang mengutuknya dapat apa? Dapat dosa kering lagi adalah...

Rimas dibandingkan

RAJA dengar Nazrief tidak selesa apabila ada yang membandingkannya dengan Fattah. Bukan apa, mereka berteman baik kerana pernah berjuang dalam program Hero Remaja 2011/2012.

Khabarnya apabila muncul dengan single pertama, Fattah antara rakan artis yang terawal yang mengucapkan tahniah dan memberi sokongan kepada Nazrief. Jadi, Nazrief tidak senang hati apabila ada peminat mengutuk Fattah.

Khabarnya, Nazrief muncul dengan lagu Cinta Semalam bukan untuk mencabar Fattah atau mana-mana pelakon yang menjadi penyanyi kerana bidang itu diminatinya sejak di bangku sekolah lagi.

Bagi yang tidak tahu, Nazrief sebenarnya sudah berjinak-jinak dalam dunia nyanyian sejak usia belasan tahun. Pelakon berusia 26 tahun itu menyertai banyak pertandingan nyanyian pada zaman persekolahan, cuma rezeki dalam bidang lakonan hadir terlebih dulu.

Raja dengar, minat Nazrief terhadap dunia nyanyian melebihi lakonan. Keinginan menjadi penyanyi tidak pernah pudar. Hanya selepas menyertai syarikat pengurusan baharu, Mind Order Sdn Bhd, baru impiannya dapat direalisasikan.

Nazrief juga pernah cuba menyertai uji bakat Akademi Fantasia musim kelima selepas tamat sekolah. Malangnya, usianya belum cukup 18 tahun menyebabkan dia pulang hampa. Harapnya Nazrief dapat membina kerjaya sebagai penyanyi pula. Cuma satu, jangan lupa berpijak di bumi nyata apabila semakin popular!

RAJA: Ramai pula yang teringin bercuti ke Koh Samui gara-gara Fazura, Fattah Amin dan Neelofa berlibur di lokasi yang sama. Ada apa di Koh Samui?

2067 dibaca
Berita Harian X