Ahad, 30 Julai 2017 | 11:05pm
PENYANYI, Farawahida.

Rumah tangga kami baik-baik saja - Farawahida

KUALA LUMPUR: Akibat jarang memuat naik gambar bersama suami di laman sosial, Farawahida ditanya soalan panas apakah rumah tangga dibina bersama Shukur Mohd Zain sejak Disember 2013 sedang berantakan.

Malah ketika sambutan Aidilfitri kali ini pun tiada gambar bersama suami dimuat naik penyanyi itu di laman sosial, sehingga ada yang mengandaikan ada sesuatu terjadi antara mereka

Menghubunginya sebentar tadi, Farawahida hanya tergelak manja dengan persoalan itu.

"Rumah tangga kami macam biasa. Tiada apa yang berubah pun. Ikutkan dari dulu lagi, jarang gambar suami dimuat naik di laman sosial.

"Suami pun tak suka nak dedahkan dirinya. Begitupun memang ada gambar kami berdua di laman sosial. Bukan tiada langsung. Cuma memang tak semua gambar kami dikongsi untuk tatapan umum.

"Macam Aidilfitri tahun ini, kami sempat beraya bersama. Cuma keadaan tidak berapa sesuai untuk kami ambil gambar, maka tak ada gambar kami beraya pun," kata Farawahida sambil memberitahu, suaminya berulang-alik ke Indonesia atas tuntutan kerja.

Bakal genap empat tahun berkahwin, hujung tahun ini, persoalan menimang anak tidak lupa diajukan kepada Farawahida

"Baik saya dan suami, memang kami teringin untuk memiliki anak. Tapi belum ada rezeki ke arah itu.

"Seperti pasangan lain, kami pun nak lengkapkan rumah tangga dibina ini dengan kehadiran cahaya mata. Tapi kuasa Tuhan, semua itu belum menyebelahi kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Farawahida akan muncul dengan lagu duet, Mengapa Harus Aku, dengan seorang penyanyi wanita tak lama lagi.

4422 dibaca
Berita Harian X