Isnin, 31 Julai 2017 | 11:56am

'Saya doakan yang terbaik'

KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi melanda Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah, ibu kepada penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura itu mendoakan perkahwinan pasangan berkenaan berkekalan.

"Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk mereka," kata S Hafiza Basharahil ringkas, ketika dihubungi BH Online menerusi akaun Facebook peribadinya, pagi ini.

Hafiza berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi membabitkan anaknya yang didakwa mengasari Bella pada Khamis lalu.

Artis tinggi lampai itu ditahan polis keesokannya selepas isterinya membuat laporan insiden di sebuah premis hiburan di Cheras.

Aliff kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Petang ini, Aliff dan isteri dijadualkan mengadakan sidang media berkaitan insiden terbabit di lokasi pernikahan mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Hafiza yang berada di Kota Singa, tidak dapat menghadiri sidang media berkenaan.

"Ketika ini, ibu dan bapa saya masih kurang sihat. Kami sekeluarga mendoakan supaya Allah mempermudahkan urusan mereka hari ini. Insya-Allah," katanya.

Aliff, 26, dan Bella, 23, berkahwin pada September tahun lalu dan rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran anak sulung, Mohamad Ayden Adrean, 8 Julai lalu.

Terdahulu, akaun Instagram Hafiza turut menjadi sasaran netizen melepaskan geram selepas tercetusnya kontroversi terbabit. Namun, beliau memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi.

Rata-rata netizen melayangkan komen meminta wanita berkenaan menasihati anak sulungnya jangan mengasari isteri, di bawah status lama yang tiada kena-mengena dengan insiden itu.

Tidak kurang juga yang menyindir dan mempertikaikan jenis didikan terima Aliff daripada keluarganya.

Bagaimanapun, ada juga yang menyelar tindakan netizen 'menyerang' laman sosial ibu kepada tiga anak itu, yang disifatkan sebagai tidak kena.

10025 dibaca
Berita Harian X