Isnin, 28 Ogos 2017 | 3:42pm
Keith Foo bersama isteri, Kim Raymond di Pusat Membeli-belah Polo Ralph Lauren Pavilion, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Rumah tangga kami baik-baik saja - Keith Foo

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Keith Foo, menafikan dakwaan kononnya rumah tangga yang dibina bersama isteri, Kim Raymond, sejak tiga tahun lalu kini berantakan.

Dakwaan berkenaan mula kedengaran apabila kedua-duanya dikatakan sudah jarang memuat naik gambar bersama di laman sosial sejak kebelakangan ini, malah Kim juga dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram suaminya itu.

Baru-baru ini pula, aktor yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Ariana Rose, itu dikhabarkan menerima rawatan di hospital, kononnya rentetan masalah rumah tangga yang dihadapi.

"Cerita kononnya rumah tangga kami bermasalah itu tidak benar sama sekali. Malah, kehidupan kami macam biasa saja.

"Baru-baru ini, memang saya dimasukkan ke hospital, tetapi disebabkan kecederaan dialami ketika bersenam. Kepala saya terhantuk pada objek keras. Jadi, dua malam juga saya terpaksa bermalam di hospital.

"Kami juga ketika ini sedang sibuk membuat persiapan untuk berpindah ke rumah baharu," kata Keith kepada BH Online.

Mengenai isteri yang tidak lagi mengikuti dirinya di laman sosial berkenaan, Keith berkata, ia bukanlah satu perkara besar.

"Anak buahnya pun kerap bermain telefon bimbit isteri dan mungkin dia tersalah tekan hingga tidak lagi mengikuti saya di Instagram," kata bapa kepada seorang anak perempuan diberi nama Skylar Raymond Foo ini.

Menyentuh kelibat dirinya yang sudah hampir dua tahun tidak kelihatan di kaca TV, Keith berkata, beliau berbuat demikian atas pilihan sendiri.

"Kalau ada tawaran yang bagus, saya tetap akan pertimbangkan. Saya juga tiada masalah kalau tiada undangan lakonan yang diterima. Saya kini lebih fokus kepada keluarga, termasuk anak kami.

"Apabila berkahwin, saya kini lebih tahu apa yang perlu diutamakan. Keluarga antara keutamaan saya sekarang, selain itu saya juga aktif bersenam di gimnasium," katanya.

Sementara itu, seperti suaminya, Kim turut menjelaskan hubungannya dengan suami berjalan seperti biasa.

"Semuanya baik-baik saja dan kami pun baru saja dapat anak perempuan (hujung Mei lalu).

"Dalam soal tidak mengikutinya di Instagram, saya sendiri pun tak sedar akan hal terbabit. Anak buah saya gemar melihat gambar di akaun suami saya. Mungkin dia tersalah tekan hingga tidak lagi mengikuti suami saya," kata Kim.

Menguatkan lagi dakwaan mereka kini berbahagia, Kim sendiri baru-baru ini ada berkongsi rakaman video pendek secara langsung (Insta Story) memaparkan dirinya dan suami sedang menikmati makanan bersama-sama.

6761 dibaca
Berita Harian X