Isnin, 11 September 2017 | 4:10pm
PENYANYI rap, Caprice.

Isu salah faham jadi idea cipta lagu

KUALA LUMPUR: Salah faham dengan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri yang menjadi topik hangat netizen, baru-baru ini, mencetuskan idea kepada penyanyi rap, Caprice mencipta lagu.

Bekerjasama dengan rakannya, Sri Rascol, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 29, menghasilkan single berjudul Korang Tak Boleh Blah.


- Foto Instagram @capriceofficial

Lagu itu antara lain menceritakan polemik tercetus daripada salah fahamnya dengan Aliff dan isu gambar wajah anak angkat seorang lagi usahawan kosmetik popular Nur Sajat, yang disunting individu tidak bertanggungjawab, yang diulas Caprice dalam bahasa Inggeris.

Menjelaskan mengenai lagu Korang Tak Boleh Blah, Caprice memberitahu, lagu itu menceritakan bagaimana komen Aliff yang menganggap dirinya dikutuk pantas menjadi viral.

"Secara jujur, saya terkejut dengan komen Aliff. Itu pun berulang kali saya baca untuk cuba faham maksud sebenar supaya saya tidak tersalah sangka.

"Apabila netizen membalas komen Aliff, ia kemudian menjadi isu. Disebabkan itu, saya terus mendapat ilham menghasilkan lagu dan berkolaborasi dengan Sri Rascol," katanya kepada BH Online.

Baru-baru ini, melalui rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram, Caprice membincangkan mengenai gambar wajah dua anak angkat Nur Sajat, disunting pihak tidak bertanggungjawab dalam bahasa Inggeris.

Pada masa sama, Caprice memuji tindakan Sajat dan Aliff yang disifatkan berhati mulia mengambil anak angkat.

Namun, pujian itu disalahertikan apabila Aliff mempersoalkan tujuan dia membincangkan perkara itu.

Berikutan itu, Aliff melalui komen entri menyelar Caprice yang dianggap mengutuk dirinya.

Melihatkan komen itu, netizen kecoh dan cuba menerangkan maksud sebenar rakaman video itu serta sifat keprihatinan Caprice yang perlu dipuji, bukannya dikritik.


PENYANYI rap, Caprice. - Foto fail NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Serangan Aliff juga menjadi bahan lawak netizen kerana terkejut mendapati usahawan kosmetik itu tidak faham maksud yang disampaikan penyanyi itu dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Aliff kemudian memohon maaf dengan kesilapannya itu.

Ditanya apakah dia menggunakan nama Aliff untuk meraih populariti, Caprice berkata:

"Saya hanya mahu berkongsi pendapat. Sejak empat tahun lalu, saya banyak menganjurkan ceramah dan kempen bagi tujuan pendidikan. Pada laman sosial pula, saya banyak berkongsi pendapat mengenai isu viral.

"Jadi ramai yang memberi maklum balas baik dan cadangan isu apa yang patut saya ketengahkan termasuk membabitkan Aliff dan Sajat. Tapi kali ini, lain pula jadinya," katanya.

2651 dibaca
Berita Harian X