Khamis, 2 November 2017 | 3:01pm
PENYANYI, Haqiem Rusli, ketika menyanyikan lagu Segalanya pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu pertama.

Haqiem Rusli nafi beli kereta secara tunai

KUALA LUMPUR: Haqiem Rusli, menepis dakwaan kononnya beliau membeli kereta baharu, Mitsubishi Lancer, secara tunai.

Penyanyi itu bagaimanapun enggan menjelaskan jenis bayaran yang dibuat kerana menyifatkan ia perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan dengan umum.

"Benar, saya beli kereta itu tiga minggu lalu, tetapi bukan secara tunai. Saya pun berasakan perkara ini tidak perlu diberi penjelasan kerana ia soal peribadi.

"Saya juga malas hendak bercakap mengenai hal ini apabila ia menjadi bualan netizen. Biarlah apa orang nak kata," katanya ketika dihubungi BH Online.

Kata penyanyi lagu Tergantung Sepi itu, beliau bersyukur apabila hasil usahanya selama ini sebagai penyanyi berbaloi dan kereta itu dianggap sebagai hadiah buat diri sendiri serta ibu dan bapanya yang banyak memberi sokongan.

Malah, ia juga memudahkan Haqiem, 19, untuk bergerak ke sana-sini bagi tujuan kerja jika ibu dan bapanya sibuk.

"Buat masa ini, saya belum boleh memandu lagi, jadi ada rakan yang tolong pandu. Apabila sudah ada kereta, maka saya juga lebih bersemangat untuk mendapatkan lesen," tuturnya.

Baru-baru ini, Haqiem memuat naik foto keretanya bersama luahan rasa syukur apabila dapat memiliki kenderaan hasil usahanya sebagai penyanyi.

Ekoran itu, rata-rata peminat mengucap tahniah kepada beliau. Malah, ada peminat yang memberi cadangan kepada penyanyi itu untuk menghias kereta terbabit.

Bagaimanapun, menerusi laporan sebuah blog, Haqiem dikatakan kononnya membeli kereta itu secara tunai.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Haqiem merancang untuk membuka perniagaan francais burger di bawah jenamanya sendiri dalam masa terdekat nanti.

3329 dibaca
Berita Harian X