Sabtu, 25 November 2017 | 6:55pm
PELAKON, Raja Afiq. - Foto Instagram @rajaafiqqofficial

'Nama pelakon lain pun dipetik sama'

SERDANG: "Bukan hanya saya, sebaliknya nama beberapa pelakon lain turut dipetik sama sejak cerita itu timbul. Tiada apa perlu saya jelaskan kerana saya ingin memberi tumpuan kepada kerjaya seni," kata Raja Afiq.

Pelakon yang dikenali menerusi drama rantaian, Sayangku Kapten Mukhriz itu berkata, dia tidak berkecil hati apabila dikaitkan dengan khabar angin pelakon popular menghamilkan bekas kekasih yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Kata Afiq, itu bukan kali pertama namanya dikaitkan dengan gosip sebegitu membuatkan dia sudah lali menghadapinya.

"Saya tidak pernah tahu mengenai perkara ini sehingga ditanya pihak media. Saya juga tidak pernah melarikan diri. Saya masih muda dan tidak mahu gosip seperti ini mengganggu tumpuan kepada kerjaya seni," katanya kepada BH Online.

Pemilik nama penuh, Raja Afiq Raja Razali, 24, itu ditemui pada acara promosi Drama Sangat sempena Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, petang tadi.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan, seorang wanita berusia 20-an mendakwa, dia melahirkan zuriat hasil hubungannya dengan pelakon popular.


- Foto Instagram @rajaafiqqofficial

Wanita itu turut mendakwa, pelakon terbabit enggan bertanggungjawab ketika dimaklumkan dirinya hamil tiga bulan dan mengelak daripada bertemu bagi berbincang tanggungan kewangan ke atas bayi itu.

Sementara itu, Afiq turut mengakui sudah mempunyai teman wanita yang hanya diperkenalkan sebagai Syafirah yang dikenalinya sejak lapan bulan lalu.

"Saya tidak menyorokkan kekasih, malah turut memuat naik gambarnya di media sosial. Cuma, saya tidak mahu terlalu menonjolkan identiti kekasih kerana menghormati privasinya.

"Perancangan untuk membawa hubungan ke peringkat seterusnya memang ada, tetapi berikan dulu saya masa untuk mengumpul harta dan menjaga ibu," kata Afiq.

3707 dibaca
Berita Harian X