Ahad, 26 November 2017 | 12:27pm
FATTAH Amin, Shukri Yahya, Janna Nick dan Diana Danielle ketika menyertai perlumbaan Toyota Gazoo Racing di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, semalam. - Foto Khairull Azry Bidin

Jangan tokok tambah cerita - Janna Nick

KUALA LUMPUR: Pelakon, Janna Nick, mengaku timbul perselisihan faham antara beliau dan hero gandingan, Fattah Amin, ketika menjalani penggambaran drama adaptasi, Coffee Prince, arahan Michael Ang.

Janna menjelaskan, kekeliruan yang timbul itu bagaimanapun sudah diselesaikan secara baik.

Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 itu turut berharap mereka yang tidak berada di tempat kejadian agar tidak menokok tambah cerita berkenaan yang hanya boleh memburukkan lagi keadaan.

"Biasalah, apabila kita sudah bekerja hingga ke lewat pagi, badan pun sudah penat, jadi timbul sedikit salah faham antara saya dengan Fattah. Namun kami sudah berbincang secara baik untuk menyelesaikan kekeliruan itu.

"Saya berharap mereka di luar sana yang tidak berada di tempat kejadian usah merumitkan lagi keadaan kerana kami berdua duduk membincangkan perkara ini secara matang.


PELAKON, Janna Nick. - Foto Khairull Azry Bidin

"Lagipun, masih banyak kerja yang perlu kami lakukan bersama. Saya sendiri tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini," kata Janna, 22, kepada BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada acara TGR Racing Festival di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, semalam.

Terdahulu, cerita mengenai perselisihan faham antara mereka di lokasi drama berkenaan bertebaran di ruangan gosip tempatan.

Drama Coffee Prince yang menampilkan Fattah dan Janna sebagai teraju utama akan mula menemui penonton menerusi sebuah saluran berbayar, esok.

10689 dibaca
Berita Harian X