Sabtu, 2 Disember 2017 | 6:24pm
PASANGAN pelakon, Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Hafeez Mikail, Daiyan Trisha rapat tapi tak bercinta

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha enggan dikaitkan dengan publisiti murahan apabila dikatakan sengaja mencipta gosip cinta untuk melariskan filem pertama mereka, Busker.

Mengakui berkawan rapat sejak membintangi filem arahan Kye Fariz itu, Hafeez atau nama sebenarnya, Muhammad Hafeez Muhammad Zaki, berkata mereka tidak memerlukan publisiti seperti itu untuk memperkenalkan nama.

"Memang kami sering menghabiskan masa bersama sebelum penggambaran bermula, tetapi semua itu dilakukan atas tuntutan watak. Selain Daiyan, saya juga sering keluar dengan seorang lagi pelakon wanita dalam filem itu, iaitu Bulan, tetapi mengapa pula kami tidak digosipkan?

"Kami tidak bercinta, tetapi saya tidak berani meramalkan hari depan. Seandainya nanti ditakdirkan kami saling menyukai antara satu sama lain, ia bukan kesalahan kerana saya dan Daiyan masih solo. Ketika ini, kami hanya rapat atas urusan kerja," katanya.

Mengakui teruja membawa watak sebagai pemuzik jalanan bernama Adil, Hafeez yang dikenali menerusi drama Hati Perempuan tidak menafikan, berdebar menanti reaksi penonton apabila filem itu menemui peminat di pawagam pada 11 Januari depan.

"Siapa yang tidak gentar, tambahan pula Busker adalah filem pertama menampilkan kami sebagai pelakon utama. Nama saya juga belum popular untuk menarik penonton, namun saya sudah melakukan yang terbaik.

"Saya cuma berharap peminat filem Melayu akan memberikan sokongan terhadap Busker. Filem ini agak menguji kerana selain berlakon, saya juga perlu menyanyikan lapan lagu, termasuk Atma Jiwa.

"Sebagai bakat baharu, ia begitu mencabar kerana banyak perkara yang perlu saya kuasai serentak," katanya.

Sementara itu, Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, berkata persepsi itu timbul apabila mereka sering dilihat bersama untuk mempromosi Busker.

Baginya, ia bukan perkara yang perlu diperbesarkan kerana mereka perlu menjaga hubungan baik untuk memastikan kejayaan filem itu.

"Mungkin ada yang melihat gosip seperti ini sedikit sebanyak akan membantu memperkenalkan nama kami.

"Saya tidak kisah selagi ia tidak memberi kesan negatif kepada diri. Cuma, saya ingin jelaskan di sini, kami memang rapat tetapi tidak bercinta," katanya.

Selain mereka, Busker turut menampilkan pelakon seperti Anas Ridzuan, Lia Natalia dan Mas Khan.

end

1420 dibaca
Berita Harian X