Rabu, 9 Ogos 2017 | 6:35pm
DATUK Jurey Latiff Rosli (dua dari kanan) bersama Naib Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTBM), Datuk A Aida (kanan) serta Setiausaha kehormat Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTBM), Yusof Kelana (dua dari kiri) dan Omar Ahmad menunjukkan kertas risalah mengenai rasuah selepas kunjungan hormat mereka ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
DATUK Dzulkifli Ahmad (kiri) bersama Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTBM), Datuk Jurey Latiff Rosli bergambar selepas kunjungan hormat PTBM ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad (tengah) bergambar kenangan bersama Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTBM), Datuk Jurey Latiff Rosli (tiga dari kanan) dan exco Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTBM) selepas kunjungan hormat PTBM ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kemuka bukti 'duit tepi' - PTVM

PUTRAJAYA: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mahu syarikat produksi yang berdepan dengan apa yang didakwa suapan 'duit tepi' bagi mendapatkan slot tayangan mengemukakan laporan untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latif Rosli berkata, SPRM boleh membuat siasatan terperinci jika benar dakwaan rasuah 'duit tepi' wujud.

"Persatuan mahu mendidik masyarakat terutama penggiat seni dalam soal 'memberi' dan 'menerima'.

"Isu ini sudah lama didengari tapi tiada pihak yang berani tampil berikutan kebanyakan penerbit masih 'mencari makan' di stesen televisyen (TV) tempatan," katanya selepas membuat kunjungan hormat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad di ibu pejabat SPRM, di sini.

Turut hadir dalam kunjungan itu, Naib Presiden PTVM, Datuk A Aida, Setiausaha Kehormat, Yusof Kelana dan dan Ahli Jawatankuasa (AJK), Omar Ahmad.

Jurey berkata, pertemuan dengan Dzulkifli membolehkan persatuan mendapat maklumat mengenai bagaimana SPRM boleh membantu ahli PTVM dalam pelbagai isu.

"Antara lain, kita mahu tahu apakah proses dalam membuat laporan. Ini kerana kita tidak boleh membuat tuduhan tanpa bukti.

"Daripada penjelasan yang diberi, SPRM ada kaedah yang dilaksanakan bagi menyiasat dakwaan 'duit tepi'," katanya.

Jurey berkata, pihaknya yakin pertemuan pertama dengan pengurusan tertinggi SPRM membuka laluan kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak,

"Dalam hal ini, PTVM menawarkan diri menjadi ahli Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) atau Sahabat Gerah SPRM," katanya.

Tambah Jurey, pegawai SPRM akan menghadiri sesi dialog dengan semua ahli persatuan termasuk penggiat seni di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Klang, Selasa depan.

"Sesi taklimat dan dialog itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Pemilihan PTVM," katanya.

Berita Harian X