Khamis, 10 Ogos 2017 | 1:43pm
ALIFF Aziz.- Foto Aziah Azmee

Zeel Production masih tunggu Aliff

KUALA LUMPUR: Penangguhan pembikinan drama, Izinkan Aku Mencintaimu, membabitkan gandingan kontroversi, Aliff Aziz dan Afifah Nasir, turut memberi tempias kepada produksi lain.

Antara produksi yang terkesan ialah Zeel Production milik penerbit Fadzil Teh yang ketika ini menunggu Aliff melunaskan kerja penggambaran drama adaptasi novel, Meh Sandarkan Pada Aku 2.

Fadzil berharap dua artis muda berkenaan dapat menjayakan segera baki kerja lakonan mereka untuk drama terbabit supaya ia tidak menimbulkan masalah bagi produksi lain yang sudah lama menanti.

Difahamkan, drama Izinkan Aku Mencintaimu terbitan Mahligai Serimas itu dijangka berakhir Jumaat ini. Hari ini, penggambarannya disambung di Cheras, di sini.

"Tak mahu gaduh-gaduh lagi. Cepat selesaikan komitmen kerja antara mereka (Afifah dan Aliff). Kalau ditangguhkan lagi baki penggambaran drama lakonan mereka itu, ia bukan saja akan menyebabkan produksi berkenaan perlu menanggung banyak masalah, malah syarikat penerbitan lain juga terkena tempias," katanya.

Menurut Fadzil, Meh Sandarkan Pada Aku 2 yang menggandingkan Aliff dan Mira Filzah memulakan penggambaran sejak Ramadan lalu. Menjalani penggambaran selama 20 hari di sekitar ibu kota, ia akan disiarkan menerusi portal Tonton.

"Berikutan masalah teknikal membabitkan cakera keras, kita perlu melakukan penggambaran semula. Jadi memang hendak tak hendak, kami kena tunggu Aliff.

"Kami mahu segera melunaskan penggambaran drama itu, yang memerlukan kira-kira lapan hari saja lagi. Semua penggambaran itu pula memerlukan khidmat Aliff.

"Selain masalah teknikal, pihak penyiar sendiri meminta kami menukar beberapa bahagian jalan cerita, yang sudah menjalani penggambaran, supaya ia dapat disesuaikan dengan tontonan saluran mereka," katanya.

13292 dibaca
Berita Harian X