Khamis, 31 Ogos 2017 | 1:21pm
PENERBIT dan pelakon, Datuk Rafiena Ezanee. - Foto Zunnur Al Shafiq

Rafiena bahagiakan anak angkat

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Datuk Rafiena Ezanee, merancang menghantar 26 anak angkatnya ke kem bina semangat di sebuah taman tema bagi memberi peluang mereka merasai pengalaman seperti kanak-kanak lain.

Katanya, anak daripada keluarga kurang berkemampuan itu dijadual mengikuti program tiga hari dua malam pada pertengahan bulan depan di Perak.

"Mereka ialah anak angkat yang saya ambil selepas mengunjungi sekolah masing-masing di Kuala Kangsar. Selepas bertemu sendiri anak-anak berjiwa besar ini, saya terpanggil untuk membantu.

"Mereka anak yatim. Ada yang tidak pernah mendapat kasih sayang ibu atau bapa, malah ada antara mereka tidak mempunyai orang tua. Hati saya tersentuh melihat kesungguhan mereka," katanya kepada BH Online.

Rafiena yang memiliki syarikat produksi Darkwave Pitures Sdn Bhd berkata, kem berkenaan pada dasarnya memberi peluang kepada kanak-kanak itu menikmati pengalaman beriadah dan melakukan aktiviti santai.

"Ikut perancangan, kem berkenaan akan diadakan di sebuah taman tema terkenal dengan pelbagai pengisian dan pada masa sama sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

"Saya harap mereka bukan saja dapat berseronok tetapi juga mendapat manfaat serta pengalaman baharu," katanya yang popular menerusi drama Wanita Dalam Pasungan.

Pada masa sama, Dark Wave mempunyai perancangan menerbitkan sebuah rancangan mengenai perjuangan hidup insan yang ada kala berdepan dengan pelbagai ujian.

4395 dibaca
Berita Harian X