Khamis, 5 Oktober 2017 | 2:34pm
HOS pentas halaqah.

Pentas Halaqah pelawa orang ramai tonton secara langsung di studio

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun bersiaran, program bual bicara terbitan TV9, Halaqah tampil dengan episod istimewa dikenali sebagai Pentas Halaqah.

Kali ini, Pentas Halaqah turut akan membuka pintu kepada orang ramai untuk menyaksikannya secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, bermula pada 8 Oktober ini, jam 2 petang. Berbanding selama ini yang dilakukan secara rakaman.

Bagaimanapun, mereka yang berminat boleh mendapatkan tiket berharga RM50 di Kaunter Tiket Sri Pentas 2, Ahad ini, sejam sebelum acara berlangsung. Ia terhad untuk 500 penonton saja.

Orang ramai yang berminat untuk menonton program secara langsung ini juga boleh melayari laman sesawang cjwowshop.com.my, bermula hari ini, bagi mendapatkan tiket.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, harga RM50 itu bukan sekadar untuk tiket masuk semata-mata, malah ia merangkumi kupon makanan bernilai RM15, barangan eksklusif TV9 dan sesi beramah-mesra bersama hos Pentas Halaqah, Ahmad Noor Sulaiman, dan tetamu ilmuwan, Datuk Dr Danial Zainal Abidin dan Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Program Pentas Halaqah kali ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan selingan daripada penyanyi, Khai Bahar, dan gandingan Filsuf (Ahli Fiqir) serta Adib Muhibbain.

Berkonsepkan perbincangan, topik pertama program itu nanti ialah Bila Dajal Bertanya.

Siri kedua program Pentas Halaqah mengetengahkan topik berjudul Kuatkah Israel?. Ia membincangkan kelebihan Israel dalam bidang ketenteraan, telekomunikasi, ekonomi, kesihatan, pendidikan, pertanian, teknologi maklumat malah hingga kepada perisikan, mereka seolah-olah kekal kuat di dunia Arab.

Namun, pada masa sama, topik ini akan memperkatakan mengenai kelemahan Israel yang perlu difahami oleh umat Islam.

338 dibaca
Berita Harian X