Rabu, 18 Oktober 2017 | 5:20pm

Program nyanyian cungkil bakat OKU


Episod pengenalan BTBC sudah dijalankan.

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai golongan orang kelainan upaya (OKU) mempunyai bakat besar, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Sosial, B Krishna Kumar, mahu menerbitkan program realiti khas, Born To Be Champ (BTBC).

Krishna berkata, program yang bakal mencungkil bakat seni suara OKU itu kini menunggu kelulusan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Sebenarnya, sudah lapan tahun saya tampil dengan idea ini dan hampir berputus asa kerana tiada siapa yang mengendahkan kertas kerja diberikan.

"Tidak lama kemudian, FINAS menghubungi saya untuk hadir membentangkan secara terperinci mengenai BTBC dan mereka sukakan idea itu. Sekarang, saya hanya menantikan kelulusan daripada pihak terbabit.

"Saya percaya, program sebegini dapat diterima umum, apatah lagi kita sudah lama ketandusan penyanyi seperti S Jibeng," katanya kepada BH Online.


PENGURUS Besar Yayasan Pembangunan Sosial, B Krishna Kumar.

Tambah Krishna, beliau juga sudah menyiapkan episod pengenalan dan berharap konsep yang ditunjukkan membuka mata FINAS.

Dalam pada itu, katanya, program terbabit turut bermatlamat membantu menaik taraf sumber pendapatan OKU.

"BTBC bukan saja mahu menonjolkan bakat seni yang mereka ada, tetapi juga menaik taraf tahap sosio-ekonomi golongan berkenaan.

"Sebagai contoh, menerusi BTBC, kami boleh menghasilkan sebuah blog khas berkongsi cerita mengenai kerjaya masing-masing dan pada masa sama mempromosikan mereka.

"Selepas tamat program berkenaan, blog itu boleh diteruskan dalam mempromosikan perniagaan yang dilakukan golongan ini," tuturnya.

Sementara itu, Krishna berkata, jika BTBC yang turut menerima sokongan Gabungan Sinergi Sdn Bhd mendapat kelulusan, uji bakat akan dijalankan di enam lokasi di seluruh negara dan ia terbuka kepada warga negara berumur 18 tahun ke atas.

Peserta juga perlu berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

414 dibaca
Berita Harian X