Rabu, 25 Oktober 2017 | 5:36pm
Penyanyi, Noraniza Idris (kanan) bercakap pada sidang media konsert Irama Warisan di Kuala Lumpur.

Kembalikan kegemilangan irama Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Noraniza Idris, 49, merancang untuk menganjurkan konsert Save Irama Malaysia, Februari tahun depan, dalam usaha memastikan nuansa muzik itu terus dipertahankan.

Persembahan berkenaan kesinambungan penganjuran konsert percuma Irama Warisan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Sabtu ini.

"Konsert Irama Warisan ini bertujuan untuk mengangkat kembali muzik yang menjadi kebanggaan kita. Inilah titik permulaan untuk kita menguar-uarkan kepada masyarakat, terutama generasi baharu, mengenai warisan negara sebagai produk modal insan.

"Selepas konsert ini, beberapa lagi program akan diadakan bagi mementaskan irama berkenaan di platform lebih besar dan luas, dalam acara yang kita boleh anggap sebagai Fiesta Irama Malaysia. Ia termasuk konsert yang dijangka diadakan pada Februari depan," katanya pada sidang media konsert terbabit, di sini.

Sementara itu, Ketua Unit Muzik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian DBKL, Mohd Adzan Mohd Fadzil, berkata konsert yang akan menampilkan 58 pemuzik Orkestra DBKL itu kesinambungan kepada kempen dijayakan oleh Noraniza.

"Sebelum ini, kita juga ada menganjurkan konsert Megastar Dangdut. Konsert sebegini diadakan sebagai usaha untuk menghidupkan semula genre yang semakin dilupakan masyarakat," katanya.

Mengambil kira keupayaan Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana, di sini, beliau menjangkakan kira-kira 3,000 penonton akan memeriahkan konsert selama sejam setengah itu.

Penganjur turut menyediakan bas perantara bagi memudahkan orang ramai hadir ke konsert berkenaan, yang akan berlangsung mulai jam 8 malam.

Menampilkan artis seperti Noraniza, Farawahida, Asmidar, Haziq Rosebi, Monoloque dan Hisham Adrizal, konsert terbabit akan diacarakan oleh Nana Mahazan dan Burn.

637 dibaca
Berita Harian X