Isnin, 30 Oktober 2017 | 8:04pm
PEMUZIK, David Juritz (kiri) dan Konduktor Muzik, Anthony Weeden bercakap pada sidang media sempena konsert Toyota Classic Charity 2017 di Frasers Residence, Jalan Ampang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tiket konsert amal Toyota Classics laris

KUALA LUMPUR: Tiket menyaksikan Orkestra Konsert Diraja United Kingdom yang bakal berkumandang di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), malam esok, mendapat sambutan luar biasa apabila habis ditempah sejak tiga minggu lalu.

Pernah beraksi dengan artis antarabangsa seperti Andrea Bocelli, Jose Carreras dan mendiang Luciano Pavarotti, kredibiliti orkestra terbabit antara faktor membuatkan orang ramai enggan melepaskan peluang menyaksikan konsert mereka.

Konduktor konsert itu, Anthony Weeden, menyifatkan sambutan penonton sebagai pemacu semangat yang membuatkan pasukannya sanggup menjelajah ke serata pelosok dunia berkongsi muzik mereka.

"Kami bakal mempersembahkan kepelbagaian termasuk komposisi klasikal, klasikal ringan dan muzik popular. Ini juga sebahagian daripada acara untuk mengumpul dana.

"Saya berbesar hati dapat berkongsi muzik dengan penonton di negara ini yang cukup menghargai persembahan klasikal dan pada masa sama berganding bahu membantu mempertingkatkan mutu kehidupan golongan memerlukan.

"Istimewanya, menerusi siri persembahan kami di beberapa negara, orkestra ini turut berpeluang membawakan lagu asli tempatan, termasuk ketika di Brunei. Ia sungguh mengujakan," katanya kepada BH Online.

Konsert di bawah acara tahunan Toyota Classics itu dibawakan UMW Toyota Motor dan Toyota Motor Asia Pacific, yang antara lain bermatlamat menghimpunkan dana menerusi jualan tiket dan derma korporat bagi disalurkan kepada program pembangunan belia.

Tahun ini hasil kutipan itu akan diserahkan kepada dua penerima utama iaitu Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Selain Weeden yang pernah meraih trofi Golden Globe menerusi skor filem Theory of Everything dan pencalonan untuk Oscar, orkestra itu turut disertai pemain biola versatil, David Juritz, yang beraksi dengan orkestra ternama di Britain.

Juritz nyata tidak sabar tampil di DFP malam esok bersama rangkaian lagu yang ditunggu ramai.

"Saya harap persembahan ini meninggalkan memori manis buat khalayak," katanya.

Juritz yang berasal dari Cape Town, Afrika Selatan, pernah mencatat sejarah orkestra apabila menjadi ketua paling lama London Mozart Player, iaitu dari 1991 hingga 2010.

Kini, figura yang pernah mengarahkan Royal Philharmonic, Zurich Chamber Orchestra dan Mozart Festival Orchestra, serta mengetuai kumpulannya sendiri, London Tango Quintet, kerap muncul solo.

366 dibaca
Berita Harian X