Rabu, 22 November 2017 | 10:44pm
KISAH hidup Cheryl Ann Fernando diangkat ke layar perak. NSTP/MAHZIR MAT ISA

Cheryl kongsi cerita semangat, kegigihan dalam Adiwiraku

KUALA LUMPUR: Menghasilkan karya yang diadaptasi daripada kisah benar bukan mudah, apatah lagi jika ia membabitkan tokoh atau individu yang masih hidup.

Bagi pelakon pula, bebanan pasti terletak kepada keperluan menghidupkan watak individu tidak pernah dikenali, termasuk menjiwai dan mendasari karektor dibawa agar tampak realistik.

Karektor guru bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando, membuka mata ramai pihak apabila kisah hidupnya yang diangkat ke layar perak melalui filem Adiwira Ku, meraih anugerah tertinggi, Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 (FFM29).


BUKU T For Teacher. NSTP/MAHZIR MAT ISA

Wataknya yang dihidupkan aktres, Sangeeta Krishnasamy membuai perasaan penonton. Tidak hairanlah, Sangeeta meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM29 menewaskan aktres lain seperti Sharifah Amani, Izara Aishah dan June Lojong.

Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar murid, karektor terbabit mungkin kurang 'bernyawa'. Ini kerana setiap perincian termasuk tingkah laku, gerak tubuh dan gaya percakapan diberi perhatian dalam menjiwai karektor Cheryl.

Mengagumi lakonan Sangeeta yang diakuinya membuatkan air mata mengalir, Cheryl berkata, aktres itu berjaya menjiwai watak seorang guru.

"Bukan sekadar pergerakan tubuh, sebaliknya, pakaian dan emosi yang dilontarkan Sangeeta mencerminkan diri saya. Bukan mudah untuk menjiwai watak seseorang yang tidak dikenali dan masih hidup, tetapi Sangeeta berjaya melakukannya.

"Hanya dengan mendapat tunjuk ajar daripada bekas pelajar saya, Sangeeta benar-benar 'membawa' diri saya sehingga baju kurung kapas yang dipakainya sama, itulah persalinan saya pakai setiap hari ke sekolah," katanya.

Kisah cikgu Cheryl dan anak muridnya yang berjaya mengubah sistem pengajaran bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal di Sungai Petani, Kedah, menambat hati penerbit, Jason Chong untuk mengangkatnya ke layar perak.

Filem yang pada mulanya mahu diterbitkan sebagai sebuah drama dan bukan karya pilihan penonton itu membuka mata ramai pihak yang melihat bagaimana karya 'underdog' mampu meraih anugerah tertinggi pada FFM.


CHERYL Ann Fernando kagum dengan lakonan Sangeeta Krishnasamy. NSTP/MAHZIR MAT ISA

Papar realiti, bukan babak rekaan

Berkongsi kisah, Cheryl berkata, beliau dihubungi Jason yang berminat mengangkat cerita semangat pelajar SMK Pinang Tunggal dalam drama.

"Cerita saya dan murid-murid viral di media sosial. Saya tak menjawab panggilan pertama Jason sehinggalah beliau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan hasrat mengangkat cerita ini sebagai sebuah drama.

"Apabila Jason berjumpa saya, lakaran kasar jalan ceritanya sudah ada. Beliau hendak buat penggambaran di SMK Pinang Tunggal dengan menjadikan anak murid saya sebagai pelakon. Atas sebab itulah saya terima kerana ini adalah peluang kepada anak-anak didik saya," katanya.

Cheryl berkata, pembikin filem di Malaysia lihat kurang menghasilkan karya mengenai guru dan bidang perguruan.

"Saya bangga dan berbesar hati apabila jasa guru diangkat dalam sebuah karya. Ini adalah suatu penghormatan bukan saja kepada saya, sebaliknya, guru-guru di Malaysia," katanya.

Bukan kisah yang ditokok tambah untuk mencantikkan lagi jalan cerita, sebaliknya, Cheryl yang berusia 32 tahun memberitahu, apa yang diceritakan Jason itu adalah kisah perjalanannya di SMK Pinang Tunggal.

Malah, cerita kesusahan dan kesedihan pelajar adalah kisah benar, bukanlah direka untuk menambah elemen drama.

"Walaupun pelajar bersama saya selama tiga tahun, apabila saya tonton lakonan Sangeeta, ia mirip saya. Dia sangat menjiwai karektor.

"Kali pertama menonton filem ini, saya terkejut melihat semua murid saya boleh berlakon. Seperti Iqbal, dia sangat pendiam di sekolah, tetapi, dalam lakonan dia menyerlah.

"Malah murid yang digelar Iron Man itu memang menggunakan jantung mekanikal," katanya yang ketika ini bertugas di Global School Leader bagi melatih pengetua sekolah.


PENULIS buku T For Teacher, Cheryl Ann Fernando. NSTP/MAHZIR MAT ISA

Percaya setiap sekolah perlu ada seorang guru yang berani melakukan perubahan dalam sistem pendidikan, Cheryl menambah, beliau mendapat sepenuh sokongan dan galakan daripada pengetua SMK Pinang Tunggal dalam melakukan perubahan di sekolah itu.

INFO

  • Filem Adiwira Ku yang tidak membariskan bintang komersial diarahkan Eric Ong dan diterbitkan Sol Pictures Sdn Bhd.
  • Pada FFM29, filem ini dijulang sebagai Filem Terbaik bersaing dengan empat filem hebat iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi.
  • Pelakon utama, Sangeeta Krishnasamy meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik dan trofi Cerita Asal Terbaik pada FFM29.
  • Sangeeta juga diumumkan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2017.
  • Filem ini dikatakan membabitkan bajet kecil RM600,000 dengan dibiayai sendiri pengarah.

Berita Harian X