Jumaat, 24 November 2017 | 11:22pm
WARTAWAN Berita Harian, Rozdan Mazalan menerima Anugerah Kewartawanan Cemerlang pada malam Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia di Hotel Park - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
WARTAWAN Hiburan, Raja Nurfatimah Mawar menerima Anugerah Penulis Pojok Terbaik pada malam Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia di Hotel Park Royal. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

BH rangkul dua trofi

KUALA LUMPUR: BH merangkul dua trofi pada malam kemuncak Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (AKIFMA) 2017, yang berlangsung, di sini, malam ini. 

Kategori utama, iaitu Anugerah Kewartawanan Cemerlang dimenangi wartawan, Rozdan Mazalan, manakala wartawan, Raja Nurfatimah Mawar Mohamed memenangi Anugerah Penulis Pojok Terbaik. 

Pengarang Berita Edisi Mingguan Harian Metro, Adam Salleh pula membawa pulang Anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik menerusi artikel berjudul Masih Mencungap Kejar RM75 juta. 

Setiap pemenang menerima hadiah berupa trofi, sijil penghargaan serta wang tunai.

Majlis pengiktirafan kepada penulis hiburan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang julung kali diadakan itu dimeriahkan dengan kehadiran Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah Sultan Ahmad Shah.

Yang turut hadir, Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin. 

AKIFMA 2017 turut menganugerahkan Tokoh Wartawan Hiburan kepada bekas wartawan Utusan Malaysia, yang juga bekas Presiden WHAM, Fauziah Abdul Rauf.

AKIFMA 2017 diadakan dengan kerjasama WHAM dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Sementara itu, Mohd Khusairi berkata, majlis itu mempertemukan semula nama besar dalam dunia kewartawanan hiburan akhbar dan majalah sejak era 1980-an hingga generasi baharu.

"Majlis ini adalah penghargaan kerajaan melalui FINAS atas idea, usaha dan aspirasi pihak wartawan sebagai jentera pembangunan industri.

"Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri," katanya.

AKIFMA 2017 menampilkan primadona filem Melayu, Fauziah Ahmad Daud dan pelawak popular, Abam Bocey sebagai pengacara.

Antara selebriti yang hadir adalah Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Datuk Seri Shah Rezza, selain nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan seperti Saodah Ismail, Sarimah Hussain dan Zubairi Zabidin yang diundang sebagai penyampai anugerah.

228 dibaca
Berita Harian X