Sabtu, 25 November 2017 | 2:41pm
KEADAAN Studio Jalan Ampas di Singapura yang masih dijaga dan dihias rapi, bagaimanapun sudah ditutup kepada umum sejak lima bulan lalu. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof
KEADAAN Studio Jalan Ampas di Singapura yang masih dijaga dan dihias rapi, bagaimanapun sudah ditutup kepada umum sejak lima bulan lalu. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof
KEADAAN Studio Jalan Ampas di Singapura yang masih dijaga dan dihias rapi, bagaimanapun sudah ditutup kepada umum sejak lima bulan lalu. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Harap Studio Jalan Ampas kekal

SINGAPURA: Meskipun sudah lima bulan ditutup kepada umum, Studio Filem Melayu milik Shaw Brothers (SB) atau lebih dikenali dengan nama Studio Jalan Ampas di sini, masih menyimpan banyak khazanah yang boleh mengimbau nostalgia kepada peminat filem Melayu lama.

Bagaimanapun, persoalan yang sering diutarakan adalah sampai bila Studio Jalan Ampas masih mampu berdiri teguh dan dikekalkan di tengah hutan batu di sini?

BH berkesempatan diberi kebenaran memasuki Studio Jalan Ampas bersama rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan sempat menemuramah penjaga kawasan itu, Musa Ahmad, 74.

Rombongan FAMA turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Seri Ismail Bakar; Pengarah Kanan (Pasaran Antarabangsa) FAMA, Datuk Nazipah Jamaludin; Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin dan Pengarah FAMA Johor, Zainal Abidin Yang Razalli.

Musa yang bekerja kontrak dengan SB sudah menjaga Studio Jalan Ampas selama 16 tahun selain berhabis lebih RM30,000 menggunakan wang simpanannya sendiri untuk menceriakan kawasan berkenaan.


PENJAGA Studio Jalan Ampas, Musa Ahmad. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Musa yang berasal dari Batu Pahat dan kini menjadi rakyat Singapura berkata, berdasarkan maklumat yang diketahuinya, kawasan studio berkenaan belum dicadangkan untuk tujuan pembangunan dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

"Namun, sebagai orang lama yang minat dengan khazanah filem Melayu, saya amat berharap studio ini terus kekal dan berdiri teguh bagi tatapan generasi baharu agar mereka tidak lupa sejarah perfileman kita.

"Kini yang tinggal hanya empat blok di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar di Jalan Ampas ini milik SB dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga hartanah ini.

"Ia mula ditutup kepada umum sejak lima bulan lalu atas sebab tertentu, bagaimanapun pihak atau individu yang mahu melawat kawasan ini boleh meminta kebenaran dan menghubungi SB terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, penulis lirik dan skrip, Mohd Nor Mohd Yusofe atau lebih dikenali sebagai Yusnor Ef, 80, berkata Studio Jalan Ampas adalah satu-satunya permulaan filem di Malaysia dan Singapura.


PENULIS lirik dan skrip, Mohd Nor Mohd Yusofe atau lebih dikenali sebagai Yusnor Ef. - Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

"Tanpanya kita tidak dapat lihat studio lain wujud. Pada saya tempat ini nostalgia dan harap ia kekal dengan syarat Shaw Brothers masih mahu mengekalkannya. Ini kerana di sini adalah kawasan segi tiga emas dan memang menguntungkan jika dibina kondominium mewah," katanya.

Studio Jalan Ampas mula dibuka pada 1947 oleh syarikat Shaw Studios yang menjadi kuasa besar perfileman Asia sekitar tahun 1930 hingga 1980 sehingga menjadi landasan untuk penggiat filem Melayu waktu itu melonjak naik.

Selepas menghasilkan lebih 160 filem, era emas perfileman Melayu kian jatuh dan akhirnya studio ini ditutup pada 1967 sebelum Shaw Studio memindahkan kerja perfileman Melayu ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

1413 dibaca
Berita Harian X