Rabu, 6 Disember 2017 | 9:08am
Ed Sheeran sewaktu membuat persembahan pada iHeartRadio Jingle Ball Tour di The Forum di Inglewood, California, Amerika Syarikat pada 1 Disember lalu. - Foto REUTERS

Ed Sheeran kuasai Spotify pada 2017

NEW YORK: Penyanyi dan penggubah lagu Britain, Ed Sheeran, menguasai Spotify tahun ini, dengan album terbarunya, Divide, dimainkan 3.1 bilion kali di seluruh dunia, kata perkhidmatan siaran terkemuka itu semalam.

Lagu bintang pop itu disiarkan mengatasi mana-mana penyanyi tahun ini, yang bukan mengejutkan memandangkan lagunya, Shape of You, dijulang sebagai lagu paling kerap disiarkan di Spotify.

Di sebalik kejayaan Sheeran itu, perkhidmatan siaran streaming muzik, podcast dan video beribu pejabat di Stockholm, Sweden itu berkata, aliran terbesar 2017 termasuk hip-hop dengan peningkatan siaran 74 peratus berbanding 2016.

Bintang hip-hop, Drake, di tempat kedua pada 2017 dan penyanyi rap, Kendrick Lamar, di tangga keempat dengan penyanyi R&B, Weeknd, di tempat ketiga.

Muzik latin juga menyaksikan peningkatan ketara, dengan siaran lagu popular berbahasa Sepanyol yang menjadi tular, Despacito.

Penyanyi Rihanna menjadi selebriti wanita paling popular di Spotify untuk tahun ketiga berturut-turut, walaupun tidak mempunyai album baru pada 2017.

Kejayaannya di Spotify, bagaimanapun tidak membantu beliau pada majlis Grammy, dengan Sheeran terlepas kategori utama yang diumumkan minggu lalu, kejutan kepada ramai pemerhati anugerah industri muzik itu. - AFP

223 dibaca
Berita Harian X