Selasa, 19 Disember 2017 | 1:44pm
PRESIDEN KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez (tiga dari kiri) menerima surat pengesahan kemasukan persatuan itu dalam program Padu Citra daripada Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, sambil disaksikan Pengerusi KARYAWAN, Datuk Sarimah Ahmad. Meraikan sama acara itu ialah sebahagian ahli persatuan berkenaan. - Foto: Nurul Shafina Jemenon.

Nasib 2,000 ahli KARYAWAN makin terbela

KUALA LUMPUR: Nasib kira-kira 2,000 ahli Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) kian terbela apabila ia disenaraikan secara rasmi dalam program Padu Citra di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa 1 November lalu.

Kemasukan persatuan berkenaan dalam program yang memberi perlindungan terhadap hak, kepentingan dan profesionalisme penggiat seni perfileman itu bertujuan menjamin nasib ahli terbela apabila terbabit dengan sesebuah produksi.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez, berkata pihaknya menarik nafas lega apabila penantian selama 16 tahun persatuan itu membuahkan hasil.

"Ini era baharu bagi KARYAWAN kerana sebelum ini timbul keraguan dalam kalangan ahli, terutama penggiat filem mengenai kesahihan keanggotaan mereka untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Produksi (SPP).

"Kita ada lebih 900 ahli yang bekerja di belakang tabir sejak penubuhan persatuan ini.

"Kemasukan ini memberi kelebihan kepada ahli bekerja dengan mudah tanpa masalah selepas FINAS membuat keputusan untuk memperkasakan Padu Citra," katanya.

Persatuan itu turut menaungi 141 sutradara filem dan 940 pelakon yang mahukan pembelaan terhadap kerjaya seni masing-masing.

Freddie berkata, selepas penyenaraian KARYAWAN dalam Padu Citra, pihaknya merangka untuk mewujudkan skim gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi ahlinya.

"Sebelum ini, hanya tiga persatuan (Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Persatuan Seniman dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia) yang disenaraikan. Ia menyulitkan ahli kita untuk terbabit dalam produksi penggambaran.

"Selepas FINAS mengambil keputusan membuat pemantauan ketat terhadap produksi yang tidak mempunyai SPP, kita sekali lagi memohon pada Julai lalu, bagi memasukkan persatuan ini menerusi Padu Citra.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan ahli pada Mesyuarat Agung Tahunan yang dijadualkan Februari depan mengenai perancangan selepas ini, termasuk isu penggambaran dan terma bayaran kepada ahli," katanya.

Pihaknya juga turut menawarkan skim insurans kepada ahli berdaftar untuk melindungi mereka ketika penggambaran.

"Pekerja seni belum mempunyai skim perlindungan dan simpanan untuk masa depan mereka. Kita akan berbincang untuk mewujudkan skim caruman KWSP dengan pihak produksi yang mahu mengambil ahli kita bekerja," katanya.

222 dibaca
Berita Harian X