Khamis, 4 Januari 2018 | 5:25pm

Hadiah RM10,000 tunggu pengunjung Festival GegaRia

KUALA LUMPUR: Aktiviti bertemakan kenegaraan, kekeluargaan, kecergasan dan hiburan menunggu pengunjung pada acara hipster, Festival GegaRia anjuran Media Prima Bhd di tiga lokasi bermula di Setia City Convention Centre, Shah Alam pada 13 Januari depan.

Melalui aktiviti bertemakan kenegaraan, pengunjung boleh melalui terowong atau kapsul mini untuk menyoroti sejarah pembangunan negara dengan acara gemilang setiap dekad ditonjolkan.

Selain itu, terowong yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu membolehkan pengunjung mengamati koleksi foto dengan efek cahaya lampu dan muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Elemen ini pasti mengimbas kenangan zaman kanak-kanak selain membangkitkan rasa cinta dan hormat generasi muda kepada golongan yang lebih berusia termasuk pejuang kemerdekaan negara.

Festival GegaRia akan diadakan di tapak letak kereta B, Setia City Convention Centre di Shah Alam pada 13 Januari depan. Acara sama turut dianjurkan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari, disusuli Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Pada sudut kecergasan, orang ramai boleh menyertai acara zumba yang diketuai jurulatih kecergasan terpilih iaitu Jessica Ong yang menunggu 'kaki zumba' di Shah Alam, Hanif Shawn (Johor Bahru) dan Dayang Damito (Kuantan).

Selain zumba, pengunjung boleh bermain sukan rakyat seperti congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga selain e-games yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

Festival GegaRia yang diadakan sehari mulai jam 8 pagi hingga 10 malam itu turut menampilkan konsert artis popular secara percuma.

Setakat ini, artis yang akan menghangatkan pentas pada siri pertama Festival GegaRia di Shah Alam adalah Salma, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, Hael Husaini, Noh Salleh, Bunkface, De Fam Akim & The Majistret dan kugiran Masdo.

Festival itu akan menghimpunkan pelbagai acara seni seperti permainan, kecergasan, juadah enak, fesyen dan muzik dengan penampilan artis popular secara percuma, kepada orang ramai.

Selain itu, pelbagai acara menarik termasuk penghasilan produk seni 'funky' oleh artis tempatan serta binaan struktur huruf gergasi berwarna-warni yang diilhamkan daripada rumah tradisional Melayu, amat sesuai diabadikan dalam foto.

Ciptaan seni 'funky' daripada bahan kegunaan harian seperti tin biskut, teh tarik dan batik ditambah dengan seni estetika lain seperti tali warna, layang-layang dan pintu rumah tradisional Malaysia berwarna-warni, pasti menarik perhatian pengunjung.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Facebook dan Instagram, GEGARIA.

798 dibaca
Berita Harian X