Isnin, 8 Januari 2018 | 12:58pm

Sajian enak di Festival GegaRia, Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Sabtu ini, tapak letak kereta B di Setia City Convention Centre, Shah Alam, pasti hangat dengan pengisian menarik sempena acara hipster, Festival GegaRia anjuran Media Prima Bhd.

Selain acara menarik yang boleh dikongsi di laman sosial, persembahan artis antaranya Akim & The Majistret; De Fam; Bunkface; Noh Salleh dan Masdo, pasti menambat hati pengunjung terutama generasi Y.

Tambah hangat, bagi peminat dunia e-games dan permainan FIFA Online, kehadiran empat anggota pasukan Team Orange ESports Royal Flush pasti tidak mahu dilepaskan. Mereka ialah Hasan Old yang bertindak sebagai jurulatih dan kapten; Fridza Access; Hakim P3rlis dan Imran JohnMalaya.

Empat individu yang cukup dikenali dalam kalangan komuniti e-games di Malaysia ini, pasti akan menunjukkan taring dalam pertandingan e-games yang menawarkan hadiah wang tunai terkumpul RM10,000 sepanjang festival sehari ini.

Tidak syak lagi, Pertandingan FIFA Online 3 pasti menjadi antara program mengujakan pada Festival GegaRia yang membuka pintunya secara percuma kepada pengunjung, dari jam 8 pagi hingga 10 malam, Sabtu ini.

Selain itu, pencinta makanan pasti tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke gerai yang menyajikan juadah dari 14 negeri di Malaysia. Orang ramai boleh menikmati keenakan juadah autentik dan keaslian ramuan hanya di Shah Alam, tanpa perlu berjalan jauh.

Tambah menarik, dua chef terkenal iaitu Chef Fikree dan Chef Naem akan turut membuat demonstrasi masakan di tapak festival.

Antara juadah enak yang dijual termasuk sate popular, Sate Kajang Haji Samuri; Nasi Lemak Tanglin; MieCord Char Koay Teow Penang; Mat Utara Ice Blended; Tajima Burger; rojak dan Cendol Shah Alam.

Tidak ketinggalan trak makanan antaranya Mat Rock Ayam Goreng Kunyit; Ayam Goreng Uncle Bob; Zam Zam Laksa Buyung Pulau Pinang; Meatball Kingdom dan lain-lain lagi.

Festival GegaRia juga menyelitkan acara bertemakan kenegaraan dan kekeluargaan, melalui pembinaan terowong atau kapsul mini untuk menyoroti sejarah pembangunan negara dengan acara gemilang setiap dekad ditonjolkan.

Terowong yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu membolehkan pengunjung mengamati koleksi foto dengan kesan cahaya lampu dan muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Elemen ini pasti mengimbas kenangan zaman kanak-kanak, selain membangkitkan rasa cinta dan hormat generasi muda kepada golongan yang lebih berusia, terutama pejuang kemerdekaan negara.

Festival GegaRia turut dianjurkan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari, disusuli Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi Facebook dan Instagram, GEGARIA.

INFO

* Festival GegaRia anjuran Media Prima Bhd akan diadakan di tapak letak

kereta B, Setia City Convention Centre, Shah Alam mulai jam 8 pagi,

Sabtu ini.

* Acara sama akan turut diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor

Bahru pada 3 Februari, disusuli Stadium Darul Makmur, Kuantan,

Pahang pada 24 Februari.

* Menggabungkan pelbagai elemen gaya hidup dengan konsep lebih santai

dan hipster, festival ini dibuka secara percuma kepada orang ramai.

* Juadah dari 14 negeri dan trak makanan menanti pengunjung dengan

kepelbagaian hidangan dan cita rasa enak rakyat Malaysia.

* Layari laman rasmi Facebook dan Instagram, GEGARIA untuk maklumat

lanjut.

880 dibaca
Berita Harian X